200 rumah dianggar terjejas akibat banjir di Bukit Changgang

200 rumah dianggar terjejas akibat banjir di Bukit Changgang

Banjir Bukit Changgang
AHMAD Azri Zainal Nor menyantuni mangsa banjir dekat PPS SK RTB Bukit Changgang, di Kuala Langat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Dianggarkan sebanyak 200 buah rumah dekat Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini, membabitkan lebih 250 keluarga yang terjejas banjir akibat ban Sungai Langat pecah, kelmarin.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor berkata, jumlah rumah dan mangsa akan dimuktamadkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat supaya agihan bantuan akan diberikan.

Katanya, ketika ini Yayasan MBI menyerahkan sumbangan seperti bantal, tilam lipat, air mineral makanan dan sebagainya kepada 577 mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang.

“Untuk bantuan tunai, insya-Allah, selepas kita dapatkan dokumen lengkap bersama laporan polis dan salinan MyKad daripada mangsa kemudian kita akan aturkan sumbangan daripada yayasan.

“Mangsa banjir boleh menyerahkan dokumen tersebut kepada ketua kampung atau ahli majlis di kawasan mereka. Mereka akan bantu. Kita galakkan mangsa supaya berdaftar dengan PPS supaya tidak tercicir,” katanya ketika melawat PPS SK RTB Bukit Changgang, di sini, hari ini.

Menurut laporan Infobencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga pukul 4 petang tadi, seramai 541 mangsa melibatkan 239 keluarga masih tinggal di PPS daripada keseluruhan 577 orang daripada 251 keluarga.

Terdahulu, Utusan Malaysia menerusi maklumat pemantauan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor melaporkan banjir di kampung tersebut mulai surut membolehkan kenderaan kecil kembali boleh melalui jalan-jalan utama di sana.

Lebih 3,000 penduduk di sana terjejas selepas kediaman dan laluan utama di kawasan itu dilanda banjir susulan ban Sungai Langat pecah pada malam semalam.

Kejadian itu dilaporkan terjadi selepas sebuah ban dekat kunci air di kawasan berkenaan pecah kira-kira pukul 10.30 malam sebelum air melimpah masuk ke kawasan perkampungan tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Azri memaklumkan pihaknya akan menjalankan program pembersihan secara gotong-royong dengan bantuan sukarelawan daripada pelbagai agensi peringkat negeri termasuk mahasiswa bagi membantu penduduk membersihkan rumah.

“Insya-Allah, kita akan hantar pasukan-pasukan sukarelawan untuk bersama-sama membantu membersihkan rumah. Sekiranya sekolah ini kembali dibuka pada hari Isnin, pada hari Ahad kita juga akan bersihkan kawasan sekolah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN