SEPANG: Seramai 28 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Penerbangan Emirates Airlines yang membawa kumpulan aktivis itu selamat mendarat kira-kira pukul 9.30 malam.
Ketibaan rombongan itu turut disertai oleh Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby dengan disambut lebih 100 penyokong yang mula berkumpul sejak pukul 9 malam.
Selain itu, ketibaan kumpulan aktivis berkenaan juga disambut oleh ahli keluarga masing-masing yang hadir dengan memakai pakaian serba putih sebagai tanda sokongan.
Difahamkan, seorang peserta Malaysia iaitu Razman Mat Ali tidak pulang ke Malaysia hari ini ekoran masih lagi dirawat di Istanbul, Turkiye ekoran menghidap ‘Traumatic Pneumothorax’ atau paru-paru bocor ekoran ditumbuk tentera Israel.
Sebelum ini, SNCC mengesahkan kesemua 50 kapal misi GSF yang membawa 430 aktivis kemanusiaan termasuk 29 rakyat Malaysia telah diculik rejim Israel.
Kesemua aktivis kemanusiaan dari 40 buah negara itu dipintas secara haram dan dikepung oleh tentera Rejim Zionis Israel (IOF) di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.
Kumpulan aktivis itu turut ditahan di ‘penjara atas air’ sebelum di bawa ke Ashdod, Israel untuk proses dokumentasi dan pengusiran.
Mereka kemudian diterbangkan dari Lapangan Terbang Ramon ke Istanbul menerusi penerbangan khas Turkish Airlines selepas dibebaskan daripada tahanan di Pelabuhan Ashdod. – UTUSAN










