SEPANG: Seramai lapan lagi rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 telah ditahan tentera rejim Israel malam ini, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini seramai 24 orang.
Antara yang ditahan termasuk pakar maritim Malaysia, Al-Ahmad Shah Abdul Kadir atau dikenali sebagai CEO Kapal yang menaiki kapal Iridescence dilaporkan ditahan sekitar pukul 8.10 malam tadi.
Selain itu, kapal Bolarize yang dinaiki Mohd. Hanafi Mohd. Salim dan Mohd. Redzal Amzah turut dipintas oleh tentera rejim Israel.
Satu lagi kapal melibatkan Ozgurluk yang membawa dua rakyat Malaysia iaitu Norhelmi Ab Ghani dan Dr. Jihan Alya Mohd. Nordin.
Turut dipintas, kapal Marilyn yang dinaiki dua rakyat Malaysia, Abdul Rahim Abdul Razak dan Eddy Noor Mad Amin serta Dr. Nor Liyana Farhan Daud yang berada di atas kapal Amazon.
Terdahulu media melaporkan, seramai 16 rakyat Malaysia telah ditahan rejim Zionis terdiri daripada Zainal Rashid Ahmad atau ZRA yang berada di atas kapal Amanda, Muhamad Muhsin Zaidi (kapal Isobella), Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (kapal Cactus), S. Patmanathan, Syakirin Muhamed Senin dan Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar yang berada di atas kapal Ferluto.
Turut ditahan, Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari yang berada di atas kapal Bianca ITA, Mohammad Farizzal Rostam dan Muhammad Zaid Abdul Karim (kapal Gotico), Norazman Ishak (kapal Abodes), manakala Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Shamsir Mohd Isa serta Osman Zolkifli dari kapal Themis dan seorang peserta di atas kapal Josef, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman. – UTUSAN










