KOTA KINABALU: Situasi banjir di Sabah menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus kekal rendah dengan hanya 90 orang daripada 22 keluarga setakat 12 tengahari ini.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (PKOB), jumlah itu membabitkan 82 mangsa di Dewan Kampung Gawir, Madsiang, Penampang susulan kejadian tanah runtuh pada 18 September lalu, manakala lapan mangsa banjir di Dewan Masyarakat Papar masih menunggu keadaan pulih sepenuhnya.
“Keseluruhannya, seramai 35 lelaki dewasa dan warga emas, 30 wanita serta 25 kanak-kanak dan bayi masih ditempatkan di dua PPS berkenaan,” ujar PKOB.
PKOB menjelaskan, tiada pertambahan mangsa baharu direkodkan dan keadaan cuaca yang semakin baik memberi harapan lebih ramai mangsa dapat pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat.
Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah berkata, penutupan beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk di Penampang membuktikan situasi semakin terkawal.
“Ramalan penutupan PPS bergantung kepada keadaan hujan. Jika cuaca kering dalam tempoh dua atau tiga hari akan datang, Insya-Allah lebih banyak mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
JPBN turut memaklumkan, beberapa kawasan tanah runtuh di sekitar Kota Kinabalu juga merekodkan mangsa yang sudah kembali ke rumah setelah kediaman mereka disahkan selamat untuk diduduki.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih berwaspada susulan amaran awal cuaca signifikan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), yang menjangkakan hujan lebat berterusan boleh berlaku di beberapa daerah tertentu.-UTUSAN










