PETALING JAYA: Tiga pasukan iaitu Sri Pahang, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak dikenakan tindakan digantung dan didenda oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Perkembangan itu diumumkan badan pengelola bola sepak negara berkenaan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam selepas perkara tersebut dimuktamadkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-15.
Menerusi keputusan tersebut, Sri Pahang yang menarik diri daripada menyertai Liga Super digantung selama semusim manakala KDA FC dan Perak digantung dua musim akibat gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan.
“Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-15 baru-baru ini memutuskan untuk mengenakan hukuman penggantungan serta denda kepada Sri Pahang, Kedah Darul Aman dan Perak.
“Ia susulan penarikan diri selain gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi musim 2025/26. Berdasarkan Perlembagaan MFL, mana-mana kelab yang menarik diri daripada Liga Malaysia tidak akan menerima manfaat daripada MFL selain larangan aktiviti bola sepak,” kata MFL.
Ketiga-tiga pasukan itu akan menjalani penggantungan seperti yang disebutkan dan ia berkuat kuasa bermula musim 2025/26.
Disebabkan kesalahan melanggar Perlembagaan MFL itu, tiga pasukan berkenaan tidak dapat menyertai semua pertandingan yang dianjurkan badan pengelola liga tersebut selain hilang hak ke atas wang agihan secara merit selepas berakhir Liga malaysia 2024/25.
Daripada tiga pasukan tersebut, Sri Pahang merupakan antara pasukan yang mendapat Lesen Kebangsaan 2025/26, namun kelab Pantai Timur itu memlih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia.
Musim ini, menyaksikan Sri Pahang dan Perak tidak beraksi dalam mana-mana liga bola sepak di Malaysia manakala KDA FC pula sedang bersaing dalam kancah Liga A1 Semi Pro. – UTUSAN










