April 2019 - Page 376 of 424 - Utusan Malaysia

April 2019

Pameran 5G pamer kehidupan masa depanCYBERJAYA 3 April – Merasai naik kenderaan tanpa pemandu dan menjalani sesi konsultasi serta diagnosis penjagaan kesihatan jarak jauh. Itu antara pengalaman menarik yang bakal menanti orang ramai di pameran teknologi mudah alih generasi kelima  (Pameran 5G) dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 18 hingga 21 April ini. Bertempat di Kompleks Perbadanan Putrajaya, pameran julung kalinya diadakan itu memberi peluang kepada orang ramai, pemain industri dan  pihak berkepentingan merasai dan melihat sendiri manfaat teknologi 5G terhadap kehidupan mereka pada masa hadapan. Selain kereta tanpa pemandu, orang ramai turut berpeluang melihat pelbagai aplikasi kehidupan nyata yang dipamerkan seperti e-sukan, dron, pertanian jitu, pembuatan pintar dan kelas realiti maya. Pameran itu bakal disertai hampir kesemua syarikat telekomunikasi utama di negara ini dan institusi pengajian tinggi tempatan. Menurut Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak, pameran yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu bakal menampilkan lapan komponen yang memanfaatkan teknologi 5G termasuk penjagaan kesihatan, media dan hiburan, bandar pintar, automotif, pengilangan, keselamatan awam, pertanian dan pendidikan. “Pada pameran ini turut dilancarkan ialah ujian percubaan 5G yang telah diwujudkan di Cyberjaya dan Putrajaya,” katanya selepas taklimat kepada media mengenai persediaan pameran itu di sini hari ini. Menurut Al-Ishsal, walaupun teknologi 5G masih belum didapati secara komersial, pameran itu bertujuan memberi gambaran kepada rakyat, sektor industri dan pelabur apa yang bakal menanti mereka pada masa hadapan. Jelasnya, Malaysia merupakan antara negara di Asia yang menerajui teknologi mudah alih 5G, dijangka diperkenalkan menjelang tahun 2022.”Ia selari dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) kerajaan untuk menyediakan rakyat dengan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik,” katanya. SKMM katanya, akan mengadakan pameran sama di seluruh negara dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat mengenai teknologi 5G.Dalam sesi taklimat itu, Ketua Pegawai Digital SKMM, Gerald Lim turut berkongsi perkembangan teknologi 5G di dalam negara dan manfaatnya kepada ekonomi serta rakyat seluruhnya. “Teknologi 5G bukan sekadar teknologi, ia merupakan penggerak kepada pertumbuhan ekonomi. Ia memenuhi keperluan asas kepada teknologi termasuk dalam Revolusi Industri 4.0,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Page 376 of 424 1 375 376 377 424