Jangan takut dengan India - Dhaarma Raj - Utusan Malaysia

Jangan takut dengan India – Dhaarma Raj

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menggesa para pemainnya supaya tidak gentar berdepan India menjelang aksi persahabatan pertama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil esok.

Dhaarma sedar India adalan lawan yang kuat berdasarkan prestasi semasa selain kedudukan ranking kesembilan dunia berbanding Malaysia di tangga ke-22 dunia dan sudah lama tidak bermain perlawanan kompetitif sejak Sukan Asia 2018 pada Ogos tahun lalu.

“India berjaya menewaskan Sepanyol dan naib juara Piala Dunia 2018 iaitu Ireland dalam beberapa aksi persahabatan mereka di Eropah awal tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“India juga membawa hampir semua pemain terbaik mereka kecuali dua orang untuk lima aksi persahabatan dengan kami di sini.

“Saya sedar kekuatan India tetapi saya tidak mahu para pemain takut dengan mereka. Pemain perlu menunjukkan permainan sebenar mereka kerana kita bermain di tempat sendiri” katanya sewaktu sesi latihan di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi.

Sehubungan itu, Dhaarma berpendapat satu keputusan seri atau menang ke atas India dalam lima aksi persahabatan bermula esok hingga Khamis depan boleh dianggap satu keputusan terbaik buat anak-anak buahnya.

HOKI
Dhaarma Raj (dua dari kiri) memberikan arahan kepada para pemain dalam sesi latihan menjelang aksi persahabatan menentang India di Stadium Hoki Nasional esok.

“Lima aksi persahabatan ini amat baik buat persiapan skuad negara menjelang Final Siri Hoki Dunia di Dublin pada Jun depan.

“Saya akan memberi peluang kepada semua pemain mendapat banyak masa bermain dalam lima perlawanan ini. Jadi mereka harus memanfaatkan sebaik mungkin peluang keemasan ini,” jelasnya.

Kali terakhir bertemu India menyaksikan Malaysia tewas tipis 2-3 kepada naib juara Sukan Asia 2018 itu sewaktu Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Donghae, Korea Selatan pada Mei tahun lepas.

Final Siri Hoki Dunia di Dublin merupakan pusingan kelayakan awal Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini