REMBAU 3 April – ‘Mood’ masyarakat Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau terhadap Barisan Nasional (BN) kini lebih baik berbanding situasi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Pengerusi MCA negeri, Siow Koi Voon berkata, petanda semakin jelas apabila masyarakat Cina mula nampak polisi kerajaan baharu yang tidak popular dan kegagalan menunaikan janji PRU-14.
“Sentimen pada masa itu tidak sama seperti sekarang.
“Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau kali ini adalah peluang kepada mereka untuk memberi kad laporan sepanjang tempoh 10 bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan MCA DUN Rantau di sini hari ini.
Pada masa sama, jelasnya, pengundi Cina juga mahu membalas budi Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat yang telah menjadi wakil rakyat kawasan itu selama 14 tahun.
Koi Voon menarik perhatian, Tok Mat kini dilihat sebagai ancaman kepada Pakatan Harapan yang perlu dijatuhkan bagi melihat UMNO dan BN gagal bangkit.
“Pengundi Cina di Rantau ada lebih kurang 3,800 orang dan MCA ada keahlian lebih kurang 900 orang.
“Kami akan pastikan ahli MCA yang mengundi DUN Rantau akan keluar mengundi bagi memastikan Tok Mat menang dalam pilihan raya ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











