KUALA LUMPUR 3 April – Walaupun Equanimity telah dijual kepada Genting Malaysia Berhad, namun kapal mewah itu masih boleh dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, sepina boleh dikeluarkan untuk kapal mewah digunakan sebagai bahan bukti.
Kata beliau, pendakwa raya mempunyai mekanisme tertentu untuk melakukan tindakan tersebut.
“Jika Equanimity sudah dijual, mahkamah boleh sepina pembeli untuk hadir membawa dokumen berkaitan kapal mewah itu sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.
“Tidak bermakna kalau ia sudah dijual, maka tidak boleh lagi dijadikan bahan bukti. Masih boleh dipanggil, tak ada masalah.
“Mereka (mahkamah) juga boleh gunakan bukti berdokumen, bergantung pada persetujuan antara pendakwa raya dan peguam bela,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Mohamed Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang diminta mengulas sama ada pendakwa raya boleh menjadikan kapal layar itu sebagai bahan bukti dalam perbicaraan di mahkamah memandangkan ia sudah dijual. – UTUSAN ONLINE











