Nilai keberkesanan projek tebatan banjir

Nilai keberkesanan projek tebatan banjir

Penduduk membersihkan rumah mereka selepas dilanda banjir di Kampung Melayu Subang, Selangor semalam. -UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Audit menyeluruh terhadap keberkesanan projek-projek tebatan banjir di seluruh negeri ini perlu dilakukan susulan kejadian banjir berulang di Sungai Buloh dan Shah Alam dalam tempoh kurang 48 jam.

Penilaian perlu dilakukan terhadap infrastruktur selain mempercepat sebarang projek yang tertangguh dan menunjukkan status pelaksanaan secara telus di seluruh kawasan termasuk di luar bandar yang kerap dilanda ‘banjir termenung’.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, Sela­ngor mempunyai sumber kewangan serta keupayaan yang besar dan rakyat berhak melihat hasil yang nyata bukan sekadar pe­ngumuman peruntukan setiap kali bencana berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, banjir teruk yang melanda Kampung Melayu Su­bang, Shah Alam, TTDI Jaya dan kawasan sekitarnya sekali lagi menimbulkan persoalan me­ngenai keberkesanan pengurusan dan pelaksanaan projek tebatan banjir di Selangor.

“Hujan lebat mungkin di luar kawalan manusia, tetapi perancangan, penyelenggaraan saliran, kesiapsiagaan dan pelaksanaan projek tebatan banjir adalah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.

“Saya menyambut baik arahan Perdana Menteri supaya projek tebatan banjir bernilai kira-kira RM700 juta dipercepatkan.

“Namun, rakyat berhak mengetahui garis masa pelaksanaan, status sebenar projek serta langkah segera bagi mengelakkan kejadian ber­ulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang itu turut meng­ingatkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berulang kali menzahirkan kebimbangan terhadap isu tersebut.

“Dalam titah pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 20 April lalu, baginda menegur kelewatan penyelesaian masalah banjir malah mengibaratkan nasihat yang tidak diberikan perhatian sewajarnya seperti ‘mencurah air ke daun keladi.’

“Apabila baginda sendiri berulang kali bertitah dan wakil rakyat terus membangkitkan perkara yang sama dalam dewan. Persoalannya, di manakah keberkesanan tindakan dan penyelesaian yang dijanjikan?” soalnya.

Semalam, akhbar ini me­laporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dan Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan bagi mengatasi masalah banjir berulang di kawasan berkenaan.

Selain itu, beliau juga mengarahkan pembinaan kolam tadahan bagi mengurangkan risiko banjir kilat sementara me­nunggu projek jangka panjang itu disiapkan.

Tegas Nurul Syazwani, titah Sultan Sharafuddin perlu dijunjung dengan tindakan, soalan dan teguran dalam Dewan perlu diterjemahkan kepada penyelesaian. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini