RANTAU PANJANG: Seorang lelaki bertindak meninggalkan 11 kilogram (kg) ganja bernilai RM34,100 selepas terkejut dengan kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jeram Perdah di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, suspek bertindak nekad memecut motosikal yang ditunggangi bagi mengelak ditahan polis sebelum terbabas di jalan berlumpur dan seterusnya melarikan diri dengan meninggalkan bahan terlarang tersebut.
Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan ke atas motosikal itu telah menemukan dua buah beg yang ditinggalkan.
Katanya, pemeriksaan terhadap kedua-dua beg berkenaan menemukan 100 ketulan mampat berwarna kehijauan disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 11kg.
“Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 40 ketulan seberat 4.4kg ditemukan dalam beg galas, manakala 60 ketulan lagi seberat 6.6kg disimpan dalam beg pakaian.
“Hasil semakan nombor enjin dan casis motosikal berkenaan tidak menemukan sebarang rekod, sekali gus dipercayai motosikal itu berasal dari Thailand,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Radzi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.-UTUSAN











