Tanah runtuh cabaran selenggara Jalan Tapah-Cameron Highlands

Tanah runtuh cabaran selenggara Jalan Tapah-Cameron Highlands

JENTERA berat digunakan untuk membersihkan pokok tumbang di Jalan Tapah-Cameron Highlands semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Risiko tanah runtuh, pokok tumbang dan laluan berliku menjadi antara cabaran utama kontraktor penyelenggaraan Jalan Tapah-Cameron Highlands atau Jalan Pahang di sini sepanjang 44 kilometer, khususnya ketika musim hujan.

Pengurus Salim Rimba Bara Construction, Raja Salim Abdul Rashid, 48, berkata, syarikat kontraktor itu bertanggungjawab menyelenggara laluan berkenaan sejak 2010 termasuk pembersihan segera apabila berlaku kejadian tanah runtuh atau pokok tumbang.

Menurutnya, kejadian tanah runtuh di Batu 22, Jalan Tapah-Cameron Highlands kelmarin yang menyebabkan laluan utama ke pusat peranginan itu ter­halang merupakan antara insiden terbaharu yang memerlukan tindakan segera pihaknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Raja Salim berkata, sebaik sahaja menerima maklumat me­ngenai kejadian itu, dia bersama pekerja terus ke lokasi untuk melakukan kerja pembersihan bagi memastikan laluan dapat dibuka semula dan kenderaan boleh meneruskan perjalanan.

“Ketika ini musim hujan dan hujan berterusan sudah hampir dua minggu. Pokok di sepanjang Jalan Tapah-Cameron Highlands agak berbahaya terutama yang sudah condong dan berisiko tumbang.

“Pokok yang dikenal pasti berbahaya akan ditebang terlebih dahulu bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Pihaknya turut menempatkan mesin atau jentera berat pada setiap jarak antara 10 hingga 15 kilometer bagi memboleh­kan pekerja bertindak pantas sekiranya berlaku tanah runtuh atau pokok tumbang.

“Apabila berlaku kejadian tanah runtuh atau pokok tumbang, pekerja akan terus bergerak ke lokasi untuk membersih­kan runtuhan dan halangan secepat mungkin supaya pengguna jalan raya tidak terkandas terlalu lama,” katanya.

Menurutnya, Salim Rimba Bara Construction diberi kepercayaan oleh Belati Wangsa, syarikat yang terlibat dalam pengurusan dan penyelenggaraan jalan raya serta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan laluan berkenaan.

Mengulas cabaran tugas itu, Raja Salim berkata, Jalan Tapah-Cameron Highlands mempunyai keadaan geografi yang mencabar kerana melalui kawasan pergunungan, hutan tebal, cerun curam dan tanah tinggi.

Katanya, keadaan jalan yang sempit, mempunyai banyak selekoh tajam dan berliku, kecerunan tinggi serta bahu jalan yang terhad turut menuntut pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berterusan.

Bagaimanapun katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan JKR dan Belati Wangsa bagi me­ningkatkan tahap keselamatan, termasuk mencantas serta me­nebang pokok yang dikenal pasti berisiko tumbang.

“Jika dahulu tidak banyak penghadang keselamatan atau railing dipasang di tepi jalan dan jambatan, kini JKR Daerah Batang Padang sudah memasangnya di lokasi tertentu ter­utama di selekoh yang berbahaya.

“Kebanyakan kawasan di laluan ini juga sebelum ini gelap kerana tiada lampu jalan tetapi JKR mengambil inisiatif memasang lampu solar, khususnya di selekoh berbahaya.

“Laluan sempit turut diperlebar di beberapa lokasi manakala jalan rosak dan cerun bermasalah dibaik pulih,” katanya.

Katanya, usaha penyelenggaraan dan penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan negeri, khususnya JKR sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, menjadikan keadaan jalan ber­kenaan semakin baik dan selesa untuk digunakan.

Raja Salim berkata, tahun 2017 merupakan tempoh paling mencabar bagi pihaknya apabila lebih 100 kejadian tanah runtuh dilaporkan di laluan itu.

“Ketika itu, laluan ini pernah digelar ‘jalan maut’ kerana terlalu banyak kejadian tanah runtuh. Bagaimanapun kini sema­kin selamat serta memberikan keselesaan kepada pengguna,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini