JERANTUT: Selepas bekerja sebagai tukang binaan secara kecil-kecilan selama 20 tahun dengan pendapatan tidak menentu, seorang penduduk Felda Sungai Tekam di sini, kini menikmati kehidupan lebih selesa apabila projek cendawan komersial diusahakannya menjana pulangan kira-kira RM4,000 hanya dalam tempoh dua minggu.
Md. Zaidi Abdullah, 59, berkata, projek itu dimulakan sejak empat tahun lalu di sebuah bangsal kecil yang dibina sendiri berdekatan kediamannya di situ.
“Sebenarnya, projek tanaman ini dimulakan oleh anak saya dengan memperoleh bongkah cendawan daripada seorang pembekal dari Raub bermula dengan 500 bongkah dan ketika ini sudah ada 3,000 bongkah.
“Setelah anak mendapat kerja lain, saya meninggalkan kerja tukang binaan dengan menumpukan secara serius tanaman ini sambil dibantu isteri, Jahasni Aman, 52, yang menguruskan penjagaan bongkah dan mengutip cendawan untuk dipasarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Sungai Tekam.
Menurut Md. Zaidi, projek tanaman cendawan semakin berkembang apabila Jabatan Pertanian Pahang membantu pembinaan sebuah bangsal yang lebih besar dilengkapi alat pendingin untuk meletakkan bongkah serta kerja pengurusan tanaman itu lebih mudah dan selesa.
“Dalam tempoh dua tiga hari sahaja, setiap bongkah hasilkan cendawan dan selepas dipungut bongkah ini diletakkan semula di rak sebelum mengeluarkan semula hasil yang sama pada minggu berikutnya.
“Oleh kerana bongkah ini cepat mengeluarkan cendawan, kami tidak menang tangan untuk mengutipnya sebelum dipasarkan ke kedai runcit, pasar raya dan pelanggan membuat tempahan,” katanya.
Menurutnya, setiap 500 bongkah menghasilkan 200 kilogram cendawan yang dijual RM22 sekilogram dan 200 gram dengan harga RM5 yang menjana kira-kira RM4,000 dalam tempoh dua minggu.
Katanya, walaupun cendawan mendapat permintaan tinggi dia tidak mampu membesarkan projek itu kerana tidak ada lagi tapak berdekatan rumahnya untuk pembinaan bangsal hanya memadai menguruskan tanaman sebanyak 3,000 bongkah.
“Kebiasaannya dalam tempoh dua jam cendawan yang diletakkan di kedai dan pasar raya pada sebelah pagi habis dibeli. Saya juga menghantar tempahan ke rumah secara bayar ketika terima (COD).” katanya. – UTUSAN











