Bakat tempatan pemacu masa depan sektor tenaga negara

Bakat tempatan pemacu masa depan sektor tenaga negara

Datuk Ir. (Dr.) Bacho Pilong, Naib Presiden Kanan MPM (tiga dari kiri); Ruslan Islahudin, Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS (lima dari kiri); dan Akmal Niza Ahmad, Pengurus Besar Kanan, Pendidikan dan Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS (empat dari kanan), beramah mesra bersama penerima PPKES selepas majlis penyampaian anugerah di Kuala Lumpur Convention Centre baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA dunia bergerak pantas ke arah ekonomi rendah karbon, keperluan untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi menjadi semakin penting. 

Peralihan tenaga, perkembangan tenaga boleh diperbaharui, teknologi hidrogen, pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), kecerdasan buatan (AI), serta pendigitalan bukan sahaja mengubah landskap industri tenaga, malah mewujudkan keperluan terhadap set kemahiran baharu yang lebih kompleks.

Bagi Malaysia, kejayaan membangunkan ekonomi masa depan tidak hanya bergantung kepada keupayaan menarik pelaburan atau menyediakan infrastruktur moden. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih penting, negara perlu memastikan bakat tempatan memiliki pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan industri serta memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan masa depan

Menyedari hakikat itu, PETRONAS terus memperkukuh usaha pembangunan modal insan sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang dalam menyokong pertumbuhan negara. 

Menurut Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin, pembangunan bakat tidak seharusnya dilihat sekadar memenuhi keperluan tenaga kerja sesebuah organisasi, sebaliknya sebagai usaha strategik yang mampu mencipta nilai baharu untuk negara. 

“Dalam landskap tenaga yang semakin berubah, kekuatan sesebuah organisasi dan negara bukan lagi diukur semata-mata melalui prestasi kewangan. Pengetahuan, kemahiran, inovasi dan keupayaan rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan kini menjadi aset penting dalam menentukan daya saing masa depan.”

Menurut beliau, setiap pelaburan dalam pembangunan bakat hari ini berpotensi mewujudkan peluang ekonomi baharu, memperkukuh industri masa depan serta menyumbang kepada kemakmuran negara dalam jangka panjang. 

Usaha tersebut bermula seawal peringkat sekolah menerusi pelbagai program yang memberi pendedahan kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk mengenali peluang kerjaya yang semakin berkembang dalam sektor tenaga. 

Salah satu inisiatif utama ialah program Discover PETRONAS @ Schools (DPS) yang telah memberi manfaat kepada lebih 24,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negara sejak diperkenalkan pada tahun 2014. 

Program itu bukan sahaja memperkenalkan pelajar kepada kerjaya dalam industri minyak, gas dan tenaga, malah membantu mereka memahami potensi bidang baharu seperti pendigitalan, kemampanan dan penyelesaian tenaga masa hadapan. 

Pada masa sama, PETRONAS turut menyediakan laluan pendidikan melalui program penajaan yang telah membantu lebih 40,000 rakyat Malaysia melanjutkan pengajian tinggi sejak 1975, disokong oleh pelaburan yang dianggarkan bernilai RM4 bilion. 

Bagi PETRONAS, laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga kerja negara. 

Persepsi bahawa TVET merupakan pilihan kedua dalam pendidikan kini semakin berubah apabila sektor tersebut dilihat sebagai platform strategik dalam melahirkan tenaga mahir yang diperlukan oleh industry

Selaras dengan aspirasi negara melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar TVET Negara 2030, PETRONAS terus bekerjasama rapat dengan institusi latihan, agensi kerajaan serta pemain industri untuk memastikan kurikulum dan latihan yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan. 

Pendekatan tersebut diterjemahkan menerusi penambahbaikan program VISTA i-plus yang memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus, keterlibatan industri, jaminan kualiti, pembiayaan serta penjenamaan TVET. 

Bagi meningkatkan keberkesanan program, PETRONAS turut menubuhkan Majlis Penasihat VISTA i-plus yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil industri dan agensi pembangunan modal insan. 

Menurut Ruslan Islahudin, penglibatan industri secara langsung dalam proses latihan dan penilaian membolehkan majikan melihat sendiri tahap kompetensi, disiplin keselamatan dan kesiapsiagaan pelatih sebelum mereka memasuki alam pekerjaan. 

Pendekatan tersebut bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah membantu memastikan kemahiran yang diperoleh benar-benar menepati kehendak industri. 

Selain pendidikan awal dan TVET, PETRONAS turut memperkukuh pembangunan bakat melalui Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) di Terengganu dan Kimanis Petroleum Training Centre (KTC) di Sabah. 

Kedua-dua institusi ini berperanan merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan operasi sebenar industri tenaga. INSTEP melatih lebih 1,000 bakat tempatan dan antarabangsa setiap tahun, manakala KTC telah melahirkan lebih 250 graduan sejak penubuhannya pada 2011 bagi menyokong pembangunan tenaga kerja mahir di Sabah. 

Dalam usaha menyokong agenda peralihan tenaga negara, INSTEP turut menubuhkan PETRONAS Energy Transition Academy (P-ETA) yang memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu kemampanan, penyahkarbonan, tenaga bersih dan kecekapan tenaga. 

Akademi itu telah mengintegrasikan lebih 160 penyelesaian pembelajaran berkaitan peralihan tenaga ke dalam portfolio latihan sedia ada. 

Antara pencapaiannya termasuk melatih lebih 200 peserta dalam bidang berkaitan pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), meningkatkan kemahiran lebih 70 peserta dalam pengurusan tenaga serta melaksanakan kerjasama strategik dengan organisasi antarabangsa termasuk Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC), Energy Institute dan Offshore Petroleum Industry Training Organisation (OPITO). 

Dalam memastikan manfaat pembangunan bakat dapat dinikmati secara menyeluruh, PETRONAS turut memberi tumpuan kepada aspek keterangkuman sosial dan pembangunan wilayah. 

Di Terengganu, Program Teknikal Wakalah Minyak dan Gas (OGWTP) yang dilaksanakan bersama Yayasan Pendidikan MAIDAM menyediakan peluang latihan serta pensijilan industri kepada golongan belia daripada keluarga berpendapatan rendah. 

Program itu telah melahirkan 164 graduan dengan kadar kebolehpasaran sebanyak 82 peratus. Di Sabah pula, KTC menawarkan program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang Instrumentasi dan Kawalan Industri yang dibiayai sepenuhnya, dengan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 90 peratus. 

Bagi PETRONAS, pembangunan bakat kekal menjadi antara tunjang utama dalam memastikan Malaysia mampu mendepani cabaran peralihan tenaga dan kekal kompetitif di peringkat serantau. 

Melalui gabungan pelaburan dalam pendidikan, latihan teknikal, kemahiran digital dan teknologi tenaga baharu, syarikat tenaga nasional itu yakin Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk memperkasa generasi akan datang dan memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga yang berdaya saing di ASEAN.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini