KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Eogene Ewe tidak bimbang berdepan kemungkinan disingkirkan daripada skuad kebangsaan susulan rombakan besar-besaran yang bakal dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bulan depan.
Sebaliknya, pemain muda itu memilih untuk tidak terlalu memikirkan kedudukannya dalam skuad negara dan dia hanya mahu membuktikan kemampuan menerusi prestasi dalam beberapa kejohanan akan datang.
Eogene berkata, dia mengakui prestasi sektor perseorangan ketika ini masih bergelut untuk menghasilkan keputusan memberangsangkan, namun dia tetap berusaha memberikan yang terbaik bagi memperbaiki kedudukannya.
Katanya, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan dia menjalani latihan dengan baik sebelum menterjemahkan segala persiapan itu kepada prestasi lebih meyakinkan dalam pertandingan.
“Saya akan tetap mencuba sedaya upaya dan tidak boleh terlalu bimbang mengenai perkara lain. Saya hanya perlu melakukan apa yang sepatutnya dan mendapatkan keputusan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, semalam.
Mengulas mengenai sasaran dalam kejohanan akan datang, Eogene memberitahu, barisan kejurulatihan tidak meletakkan sebarang sasaran khusus, sebaliknya mahu dia memberikan persembahan terbaik serta memperbaiki sikap dan bahasa tubuh ketika beraksi.
Menurutnya, aspek mental juga menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian, terutama dalam mengendalikan tekanan ketika mendahului atau ketinggalan dalam perlawanan.
“Saya rasa masih ada peningkatan, tetapi kadangkala ia berlaku dengan cepat dan ada masanya perlahan. Saya mahu terus memperbaiki diri dan berharap dapat melakukannya dengan lebih pantas.
“Saya juga perlu belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan dalam kejohanan, sama ada berdepan angin kuat, cuaca sejuk atau situasi yang kurang selesa,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemain berasal dari Perak berusia 21 tahun itu berkata, menjadikan perkembangan pemain seusianya seperti Alwi Farhan, Zaki Ubaidillah dan Alex Lanier sebagai inspirasi untuk meningkatkan prestasi serta merapatkan jurang kemampuan.
Katanya, dia sedar pemain berkenaan sudah menunjukkan kekuatan tersendiri, namun akan terus berusaha mengejar tahap permainan mereka.
KAPSYEN
EOGENE EWE











