KUALA LUMPUR: Pemain badminton wanita negara, Go Pei Kee pernah berada pada tahap terendah dalam kariernya ekoran isu kesihatan, tetapi, menyaksikan seniornya, Tan Wee Kiong masih aktif bermain telah mendorongnya kembali ke pangkuan skuad kebangaan.
Pei Kee berkata, kalau Wee Kiong masih mampu mengharungi cabaran di pentas antarabangsa ketika usianya sudahpun menjengah lewat 30-an, mengapa tidak dirinya yang baharu berusia 24 tahun.
“Faktor utama saya berundur daripada skuad kebangsaan, lapan bulan lalu, disebabkan masalah kesihatan, selain, isu kecederaan bahu yang membelenggu saya.
“Dalam tempoh itu, saya beri peluang kepada diri sendiri untuk berehat secukupnya dan merawat kecederaan bahu secara perlahan-lahan dengan mengikuti latihan di gimnasium,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, semalam.
Pei Kee yang pernah bergandingan bersama Teoh Mei Xing dalam acara beregu wanita, mengambil keputusan meninggalkan skuad kebangsaan pada Februari tahun ini, namun, pemain itu kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), 1 November lalu.
Ketika ditanya mengapa dia berubah hati dan akhirnya terpujuk untuk kembali, anak jati Johor itu memberitahu, selain faktor Wee Kiong, mentalitinya kini juga telah berubah dengan mengalihkan fokus kepada kepada dirinya sendiri.
“Kalau dulu saya terlalu bagi tekanan kepada diri sendiri. Saya mahu buktikan kepada orang lain saya mampu mencatat keputusan yang baik, tetapi, sekarang tidak lagi.
“Saya mahu fokus kepada diri sendiri, saya tetap akan berjuang sehingga ke penghujung, tetapi kalau kalah juga, saya akan terima dan tetap puas hati,” ujarnya.
Pei Kee mengakui, dia kerap menangis kerana hatinya terlalu sakit sebab apa yang dimahukan gagal dicapainya.
“Tetapi saya tidak pernah kesal dengan keputusan yang diambil kerana saya tahu badan saya sudah tak boleh terima dan kesihatan menjadi keutamaan saya pada masa itu,” katanya.
Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Pei Kee berkata, dia berharap dapat kembali beraksi pada tahun depan dan fokusnya adalah kepada beregu campuran, walaupun rakan gandingannya masih belum diputuskan lagi. – UTUSAN











