PETALING JAYA: Pemain badminton negara, Yap Roy King mengakui persefahamannya bersama gandingan baharu, Aaron Tai semakin baik berbanding penampilan sulung mereka dalam Jelajah Dunia BWF di Eropah, bulan lalu.
Roy King berkata, penggiliran antara dirinya dan Aaron ketika berada di dalam gelanggang meningkat cukup ketara sepanjang Jepun Masters yang berakhir, kelmarin.
“Penggiliran kami berdua memang semakin baik, malah, persefahaman dalam gelanggang juga bagus jika hendak dibandingkan sewaktu kami mula bermain di Eropah,” katanya dalam satu kiriman audio kepada media Malaysia di sini, semalam.
Pasangan pecah ganding itu muncul beregu lelaki pertama Malaysia merangkul gelaran pada Jepun Masters selepas mengejutkan wakil tuan rumah yang menghuni ranking No. 10 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 16-21, 21-13, 21-15 dalam masa 55 minit pada perlawanan akhir di Kumamoto.
Menurut Roy King, dia sama sekali tidak menduga mampu melangkah sejauh itu dan muncul juara pada kejohanan berstandard Super 500 tersebut memandangkan undian yang mereka terima agak mencabar.
Jelasnya, bukan mudah berdepan pencabar yang berada pada ranking lebih tinggi berbanding mereka, terutamanya dalam perlawanan akhir bertemu beregu tuan rumah yang bukan calang-calang lawan.
“Lawan Hoki-Kobayashi tidak mudah, sebab semasa set pertama kami telah mendahului jauh, tetapi mereka berjaya kejar balik, waktu itu mental kami memang ‘kong’.
“Sebelum set kedua bermula, saya bagi tahu Aaron, kita fokus mata demi mata, jangan fikir banyak. Saya rasa komunikasi dalam gelanggang buat kami menang perlawanan itu,” ujarnya.
Pemain kelahiran Johor itu memberitahu, dia dan Aaron kini lebih memberi perhatian untuk belajar dalam setiap kejohanan yang mereka sertai tanpa terlalu memikirkan tentang sasaran pada masa depan.
“Kita fokus dulu perlawanan demi perlawanan, kemudian tengok keputusan macam mana, tumpuan kami sekarang tak fikir kejohanan mana yang kami nak sertai, ikut langkah demi langkah, tak perlu fikir banyak sangat,” katanya.
Esok, Aaron-Roy King akan memulakan aksi pada Terbuka Hong Kong pula dan pasangan No. 17 dunia, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan menanti mereka di peringkat 32 terbaik. – UTUSAN











