PETALING JAYA: Skuasy meneruskan momentum cemerlang buat kontinjen negara apabila skuad lelaki dan wanita berjaya menghadiahkan dua lagi pingat emas menerusi acara berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.
Kejayaan berganda itu menyaksikan Malaysia menguasai pentas akhir apabila kedua-dua pasukan menewaskan lawan masing-masing di temasya terbesar Asia itu.
Pingat emas pertama hadir menerusi skuad wanita yang terpaksa berhempas-pulas sebelum menundukkan Hong Kong 2-1 dalam aksi final yang berlangsung di Nagoya Kinjo-Futo Arena.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan Malaysia mempertahankan pingat emas acara berpasukan wanita yang dimenangi pada Sukan Asia Hangzhou 2022.
Malaysia membuka langkah kanan menerusi Aifa Azman yang menghadiahkan mata pertama selepas menewaskan Ho Tze Lok 11-9, 11-9, 12-10.
Bagaimanapun, pemain No. 5 dunia, S. Sivasangari gagal menggandakan kelebihan apabila tewas kepada Chan Sin Yuk 7-11, 11-9, 11-9, 5-11, 7-11 sekali gus membolehkan Hong Kong menyamakan kedudukan 1-1.
Dalam aksi penentuan, Aira Azman membuktikan ketenangannya apabila menewaskan Lee Ka Yi 11-9, 11-5, 11-4 untuk mengesahkan kejuaraan menjadi milik Malaysia serta menghadiahkan emas ketujuh buat kontinjen negara.
Turun sebagai pemain penentu, Aira mengakui tugas yang dipikul bukan mudah memandangkan itu kali pertama dia diberikan tanggungjawab besar tersebut dalam aksi final.
Namun pemain berusia 22 tahun itu berjaya mengawal tekanan dengan baik dan hanya memberi tumpuan kepada permainannya bagi memastikan misi mempertahankan emas dapat direalisasikan.
“Sangat gembira dengan prestasi hari ini walaupun saya menjadi pemain penentu untuk muncul juara. Sivasangari juga telah memberikan aksi terbaik.
“Kami mempunyai pasukan yang sangat solid. Kami sudah lama bersama dalam banyak kejohanan termasuk Sukan Asia sebelum ini dan sentiasa bekerja keras untuk terus menghadiahkan kejayaan buat Malaysia,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Sementara itu, skuad lelaki turut tidak menghampakan apabila mudah menewaskan Pakistan 2-0 dalam satu lagi aksi final.
C. Ameeshenraj terlebih dahulu menghadiahkan mata pertama negara selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Nasir Iqbal 8-11, 11-3, 11-6, 11-4.
Pemain No. 1 negara, Ng Eain Yow bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum menoktahkan kejuaraan menjadi milik Malaysia apabila menewaskan Noor Zaman dalam perlawanan kedua yang berlangsung sengit menerusi keputusan 11-8, 6-11, 7-11, 11-4, 11-5.
Kejayaan itu turut menyaksikan skuasy telah menyumbang empat emas buat kontinjen Malaysia pada temasya kali ini selepas Ng Eain Yow dan Sivasangari masing-masing muncul juara acara perseorangan lelaki dan wanita. – UTUSAN











