Aniq hadiah emas pertama Malaysia, pecah dua rekod temasya

Aniq hadiah emas pertama Malaysia, pecah dua rekod temasya

Aniq Kasdan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menceriakan kem Malaysia apabila menghadiahkan pingat emas pertama pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, sekali gus memecahkan dua rekod temasya dalam kategori 60 kilogram (kg) lelaki.

Atlet berusia 24 tahun itu mengesahkan gelaran juara selepas mencatat jumlah angkatan keseluruhan 273kg hasil 121kg dalam acara snatch dan 152kg bagi clean & jerk pada aksi final di SEC Armadillo, sebentar tadi.

Turun sebagai antara pencabar utama, Aniq bagaimanapun tidak memperoleh laluan mudah apabila diasak hebat oleh atlet India, Rishikanta Singh sepanjang pertandingan.

Persaingan bermula sengit dalam acara snatch apabila kedua-dua atlet berjaya melakukan angkatan terbaik 121kg, namun rekod temasya menjadi milik Rishikanta kerana lebih awal berjaya mengangkat bebanan tersebut.

Aniq kemudian mengekalkan rentak cemerlang dalam acara clean & jerk apabila membuka saingan dengan angkatan 145kg sebelum terus meletakkan dirinya di landasan terbaik memburu emas.

Peluang memihak kepada atlet negara itu apabila Rishikanta gagal menyempurnakan angkatan 148kg pada percubaan kedua, sekali gus membolehkan Aniq tenang mengatasi pencabarnya menerusi angkatan 149kg.

Harapan India untuk merampas semula kedudukan turut berkecai apabila Rishikanta sekali lagi gagal melakukan angkatan 151kg pada percubaan terakhir, sekali gus mengesahkan emas menjadi milik Malaysia.

Aniq kemudian melengkapkan persembahan cemerlangnya dengan mengangkat 152kg pada percubaan terakhir clean & jerk, sekali gus memadam rekod temasya bagi acara itu selain rekod keseluruhan menerusi jumlah angkatan 273kg. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN