GENERASI bawa pendidikan demokrasi ke sekolah - Utusan Malaysia

GENERASI bawa pendidikan demokrasi ke sekolah

MUHAMMAD Haikal Mohammad Hatta (hadapan, tiga dari kiri) pada program Jelajah Hala Tuju Pra-U, Generasi Muda Masa Hadapan Negara di Kolej Tingkatan Enam Gombak, Selangor. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Usaha melahirkan generasi muda yang celik demokrasi dan berjiwa kepimpinan terus diperkasa Parti Generasi Rakyat (GENERASI) menerusi Jelajah Hala Tuju Pra-U: Generasi Muda Masa Depan Negara yang memberi pendedahan awal kepada pelajar Tingkatan Enam mengenai peranan mereka dalam pembangunan negara.

Presidennya, Muhammad Haikal Mohammad Hatta berkata, program yang melibatkan hampir 15 sekolah dan kira-kira 3,000 pelajar itu bertujuan merapatkan jurang pengetahuan golongan muda mengenai Parlimen Belia Malaysia serta penyertaan mereka dalam proses demokrasi negara.

Menurutnya, pendekatan turun padang dipilih bagi memastikan pelajar mendapat pendedahan secara langsung mengenai kepimpinan, perbincangan dasar dan peluang memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak mahu hanya bergantung kepada hebahan media sosial ataupun program yang tertumpu di universiti semata-mata.

“Kita mengambil pendekatan turun sendiri ke sekolah, bertemu pelajar secara bersemuka dan menerangkan bagaimana mereka boleh mengambil bahagian dalam perbincangan dasar, proses demokrasi serta kepimpinan belia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Jelajah Hala Tuju Pra-Universiti di Kolej Tingkatan Enam Gombak di sini, semalam.

Menurut Muhammad Haikal, pendidikan demokrasi perlu bermula sejak di bangku sekolah dan tidak seharusnya hanya diberikan perhatian apabila tiba musim pilihan raya.

Katanya, perkara itu semakin penting susulan pelaksanaan Undi18 yang membolehkan golongan muda berusia 18 tahun mengambil bahagian dalam proses pilihan raya.

“Jika kita mahu anak muda memahami demokrasi, kita perlu membawa pendidikan demokrasi kepada mereka. Jika kita mahu melahirkan pemimpin masa depan, kesedaran itu perlu dibina bermula hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jelajah yang berlangsung hampir setahun itu turut memberi pendedahan mengenai strategi melanjutkan pengajian ke universiti, hala tuju selepas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan peluang menyertai aktiviti kesukarelaan.

Menurutnya, kerjasama dengan Khidmat Malaysia dan Sahabat Madani membolehkan pelajar mengenali bidang kesukarelaan sebagai platform membina kemahiran serta menyumbang kepada masyarakat.

“Kita mahu pelajar memahami bahawa menjadi pemimpin bukan semata-mata tentang memegang jawatan tetapi bagaimana jawatan yang dimiliki itu mampu digunakan untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Mengulas sambutan terhadap program berkenaan, beliau berkata, pihaknya menerima maklum balas amat menggalakkan malah terdapat sekolah yang meminta supaya jelajah itu diteruskan kepada kumpulan pelajar baharu pada tahun depan.

Sehubungan itu, katanya, GENERASI berhasrat menggandakan usaha penganjuran dengan menyasarkan penyertaan kira-kira 20 sekolah pada tahun depan, selain meneroka kerjasama bersama lebih banyak institusi pendidikan dan pertubuhan belia.

Beliau berkata, program tersebut turut menunjukkan hasil positif apabila sebahagian besar sukarelawan Khidmat Malaysia dan Sahabat Madani yang hadir pada majlis berkenaan merupakan bekas peserta jelajah itu.

“Jadi GENERASI hadir, kita mahu lahirkan pemimpin yang boleh berfikir dengan baik tapi dalam masa yang sama dia tidak meninggalkan nilai manusiawi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini