20 tahun selamatkan kemasyhuran Hagia Sophia

20 tahun selamatkan kemasyhuran Hagia Sophia

Hagia Sophia menjalani kerja baik pulih secara besar-besaran sejak 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berdiri megah di tengah-tengah kota Istanbul, Turkiye, Hagia Sophia bukan sekadar bangunan bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia, malah menyimpan kisah panjang tentang kebangkitan empayar, perubahan agama dan kehebatan seni bina yang bertahan hampir 1,500 tahun.

Melangkah masuk ke dalam bangunan ini, pandangan pastinya tertumpu pada kubah gergasi yang menaungi ruang utama, tiang-tiang besar serta dinding yang dihiasi pelbagai unsur seni bina dari zaman berbeza.

Suasananya bercampur-baur, seolah-olah membawa pengunjung menyusuri lorong masa yang menghubungkan dunia silam dengan kehidupan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, di sebalik keindahan yang masih terserlah, Hagia Sophia kini melalui satu lagi fasa penting dalam sejarahnya, iaitu kerja pemuliharaan berskala besar bagi memastikan bangunan berusia berabad-abad itu terus berdiri kukuh untuk generasi akan datang.

Sebelum tiba di Istanbul, penulis acap kali melihat pelancong menerusi media sosial meluahkan kekecewaan kerana Hagia Sofia sedang dibaik pulih, sekali gus menjejaskan peluang merakam gambar yang menarik.

Ketika kunjungan ke monumen berkenaan, memang benar kerja-kerja baik pulih giat dilakukan. Struktur dan kubahnya yang selama ini menjadi lambang keagungan seni bina lama memerlukan penjagaan rapi, lebih-lebih lagi selepas melalui pelbagai perubahan dan cabaran sepanjang sejarahnya.

Menurut maklumat yang dikongsikan pemandu pelancong, Ogus Atez kepada penulis, proses pemulihan itu dijangka mengambil masa sehingga 20 tahun, dengan dua tahun sudah berlalu sejak kerja berkenaan dimulakan.

Kata Oguz, kerja-kerja tersebut penting untuk mengembalikan dan mengukuhkan struktur bangunan yang semakin dimamah usia. Ia bukan sekadar mencantikkan bahagian luar atau memperbaharui kemasan, sebaliknya melibatkan usaha memelihara ketahanan keseluruhan monumen berkenaan.

RUNTUH JIKA GEMPA BUMI KUAT

Menurut Oguz, jika kerja pemulihan tidak dilaksanakan dengan sewajarnya, struktur bangunan itu berdepan risiko lebih besar sekiranya berlaku gempa bumi kuat. Dia memberi gambaran kerosakan serius boleh mengancam keselamatan bangunan, malah berpotensi menyebabkan sebahagian strukturnya runtuh.

Penjelasan itu membuatkan penulis melihat Hagia Sophia daripada sudut berbeza. Selama ini, bangunan berkenaan sering digambarkan sebagai lambang kehebatan seni bina dan sejarah, tetapi hakikatnya, monumen yang kelihatan begitu teguh juga memerlukan penjagaan berterusan untuk terus bertahan.

Istanbul sendiri terletak di kawasan yang berdepan ancaman gempa bumi, menjadikan usaha menilai dan memperkukuh struktur bangunan bersejarah sesuatu yang penting.

Bagi Hagia Sophia, cabarannya lebih besar kerana kerja pemuliharaan perlu dilakukan dengan mengambil kira bahan binaan asal, reka bentuk bersejarah dan nilai warisan yang tidak ternilai.

Berdasarkan maklumat rasmi pihak berkuasa Turkiye pada November 2025, kerja pemulihan Hagia Sophia merangkumi fasa kedua yang bermula pada 2023, termasuk pembaharuan lapisan plumbum pada bahagian luar kubah utama bagi meningkatkan daya tahannya terhadap gempa bumi.

Langkah perlindungan sementara turut dilaksanakan bagi menjaga struktur dan mozek di bahagian dalam ketika kerja dijalankan.

Tempoh 20 tahun yang disebut Oguz memberikan gambaran tentang betapa rumitnya proses memulihara bangunan berusia hampir 15 abad.

BERMULA SEBAGAI GEREJA

Pada abad keenam, Empayar Byzantine atau Empayar Rom Timur berada di bawah pemerintahan Maharaja Justinian I. Ketika itu, Constantinople, yang kini dikenali sebagai Istanbul, merupakan pusat pemerintahan yang makmur serta berpengaruh dalam aspek politik, perdagangan dan keagamaan.

Tapak Hagia Sophia sebenarnya mempunyai sejarah lebih awal daripada bangunan yang dapat dilihat hari ini. Gereja terdahulu pernah dibina di kawasan berkenaan, tetapi musnah akibat pergolakan dan rusuhan. Selepas Pemberontakan Nika pada 532, Maharaja Justinian mengarahkan pembinaan sebuah gereja baharu yang lebih besar dan mengagumkan.

Projek tersebut dimulakan pada 532 dan disiapkan dalam tempoh lima tahun. Dua tokoh yang bertanggungjawab terhadap reka bentuknya ialah Anthemius dari Tralles dan Isidore dari Miletus, yang menggunakan pengetahuan matematik serta kejuruteraan untuk menghasilkan struktur luar biasa bagi zamannya.

Hagia Sophia dirasmikan pada 27 Disember 537 dan kemudiannya menjadi gereja utama empayar serta pusat penting upacara keagamaan dan istiadat diraja. Saiznya, ruang dalaman yang luas dan kubah besar menjadikan bangunan itu antara pencapaian seni bina paling mengagumkan pada zaman berkenaan.

Antara keistimewaan Hagia Sophia ialah kubah utamanya yang kelihatan seolah-olah terapung di atas ruang utama. Cahaya yang masuk melalui deretan tingkap di pangkal kubah menghasilkan kesan visual yang menakjubkan.

Namun, kehebatan reka bentuk itu tidak bermakna bangunan tersebut bebas daripada masalah struktur. Pada 558, sebahagian kubah asal runtuh selepas gempa bumi dan kemudiannya dibina semula dengan profil yang lebih tinggi.

Sepanjang zaman Byzantine, bangunan tersebut terus menjadi pusat ibadat Kristian Ortodoks dan lokasi pelbagai upacara penting. Hiasan mozek yang menggambarkan tokoh keagamaan serta unsur seni Byzantine turut berkembang mengikut perubahan zaman, menjadikan ruang dalamannya kaya dengan nilai seni dan sejarah.

Namun, sejarah Hagia Sophia tidak sentiasa dipenuhi kemakmuran. Pada 1204, ketika Perang Salib Keempat, Constantinople ditawan tentera Salib dari Eropah Barat. Hagia Sophia dijarah dan digunakan sebagai gereja Katolik Rom sepanjang tempoh pemerintahan Latin di kota itu, sebelum kembali kepada penganut Kristian Ortodoks pada 1261.

BERUBAH WAJAH DI BAWAH UTHMANIYAH

Perubahan besar seterusnya berlaku pada 1453 apabila Constantinople ditawan tentera Uthmaniyah di bawah pimpinan Sultan Mehmed II. Penaklukan itu menandakan berakhirnya Empayar Byzantine dan bermulanya era baharu bagi kota yang kemudiannya dikenali sebagai Istanbul.

Selepas penaklukan tersebut, Hagia Sophia ditukarkan menjadi masjid. Ruang ibadatnya disesuaikan dengan keperluan solat, termasuk pemasangan mihrab yang menunjukkan arah kiblat. Menara turut dibina secara berperingkat, manakala unsur kaligrafi Islam ditambah pada bahagian dalam bangunan.

Perubahan itu tidak berlaku dalam satu masa sahaja. Sepanjang pemerintahan Uthmaniyah, pelbagai penambahbaikan dilakukan oleh pemerintah dan arkitek bagi memastikan bangunan tersebut terus berfungsi sebagai masjid.

Kesan perubahan zaman masih dapat dilihat sehingga hari ini. Di dalam ruang utama, unsur seni Byzantine seperti mozek Kristian wujud bersama ciri seni Islam seperti mihrab, mimbar dan kaligrafi bersaiz besar.

Menjelang abad ke-19, bangunan itu sekali lagi menjalani kerja pemulihan besar. Pada 1847 hingga 1849, dua arkitek berketurunan Switzerland-Itali, Gaspare dan Giuseppe Fossati, mengetuai kerja pembaikan ketika pemerintahan Sultan Abdülmecid I. Usaha tersebut merangkumi pembaikan struktur dan pemulihan unsur hiasan yang semakin terjejas akibat usia.

KEMBALI JADI MASJID

Selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyah dan penubuhan Republik Turkiye, status Hagia Sophia berubah sekali lagi. Pada 1934, keputusan kerajaan menetapkan bangunan itu sebagai muzium, sebelum dibuka kepada pengunjung pada 1935. Perubahan tersebut membuka ruang kepada usaha dokumentasi, penyelidikan dan pemulihan pelbagai unsur seni bina serta mozek lama.

Ketika berfungsi sebagai muzium, Hagia Sophia semakin dikenali sebagai warisan dunia yang dikunjungi pelancong, penyelidik dan peminat sejarah dari pelbagai negara. Nilai sejarahnya turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ia menjadi sebahagian daripada Kawasan Bersejarah Istanbul yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1985.

Namun, pada Julai 2020, status bangunan itu berubah semula apabila ia ditetapkan kembali sebagai masjid. Hagia Sophia kini digunakan untuk ibadat umat Islam, sementara akses kepada pelawat turut disediakan mengikut aturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

PELIHARA WARISAN

Ketika melihat kerja pemulihan yang giat dilakukan, timbul kesedaran menjaga bangunan bersejarah bukan tugas mudah. Setiap bahagian perlu diteliti dengan cermat supaya usaha memperkukuh struktur tidak menghilangkan ciri asal yang menjadikan Hagia Sophia begitu istimewa.

Cabaran terbesar ialah mencari keseimbangan antara keperluan keselamatan, pemeliharaan bahan asal dan penggunaan bangunan sebagai tempat ibadat. Kerja yang dilakukan perlu mengambil kira kesan usia, sejarah kerosakan akibat gempa bumi serta keunikan reka bentuk yang telah bertahan selama berabad-abad.

Bagi pelawat, kerja baik pulih mungkin menyebabkan sesetengah bahagian tidak dapat dilihat dengan sempurna atau pengalaman lawatan sedikit berbeza daripada yang dibayangkan. Namun, usaha itu penting supaya keindahan dan nilai sejarah Hagia Sophia tidak hanya tinggal dalam gambar atau catatan lama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini