PETALING JAYA: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menggantung penglibatan lima pemain, dua jurulatih serta seorang pengurus pasukan Thailand daripada semua aktiviti rasmi sepak takraw sehingga prosiding disiplin berhubung insiden kontroversi final Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selesai.
Tindakan tegas itu diambil susulan insiden regu ketiga Thailand didakwa enggan meneruskan aksi final menentang Malaysia pada 24 Mei lalu walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh Pegawai Perlawanan mengikut Undang-Undang Permainan dan Peraturan Pertandingan.
Keputusan memulakan prosiding disiplin dibuat Jawatankuasa Disiplin ISTAF dalam mesyuarat pada 19 Jun lalu selepas meneliti semua laporan dan maklumat berkaitan insiden berkenaan.
Lima pemain yang berdepan prosiding ialah Wichan Temkort, Jakkrit Thinbangbon, Phutawan Sopa, Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart.
Turut terlibat ialah dua jurulatih serta Pengurus Pasukan Sepaktakraw Kebangsaan Thailand yang didakwa mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.
Menurut ISTAF, notis prosiding disiplin dan surat pertuduhan telah disampaikan secara rasmi melalui Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT) dan setiap responden diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan jawapan bertulis sebelum pendengaran disiplin dijalankan.
Sebagai langkah sementara, Jawatankuasa Disiplin ISTAF mengeluarkan arahan interim yang melarang kesemua responden menyertai, mengadili, melatih, mengurus atau terlibat dalam sebarang pertandingan, kejohanan, acara atau aktiviti rasmi sepaktakraw yang diiktiraf ISTAF.
Larangan itu turut merangkumi penyertaan sebagai pemain, jurulatih, pengurus pasukan, pegawai atau apa jua kapasiti lain di bawah bidang kuasa badan induk dunia itu sepanjang tempoh prosiding berlangsung.
Bagaimanapun, ISTAF menjelaskan arahan interim tersebut bukan satu hukuman disiplin, sebaliknya langkah pentadbiran bagi memastikan integriti proses disiplin serta kelancaran pengurusan pertandingan terus terpelihara.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, sepaktakraw dibina atas nilai hormat, disiplin, semangat kesukanan dan integriti yang perlu dijunjung oleh semua pemain serta pegawai pasukan.
“Permulaan prosiding disiplin ini mencerminkan komitmen ISTAF untuk melindungi integriti pertandingan yang dianjurkannya sambil memastikan setiap responden menerima perbicaraan yang adil dan tidak berat sebelah selaras dengan Peraturan Disiplin kami,” katanya.
Beliau menegaskan, ISTAF kekal komited memastikan semua pertandingan di bawah bidang kuasanya dikendalikan mengikut piawaian profesionalisme, semangat kesukanan dan tadbir urus tertinggi.
Sehubungan itu, ISTAF tidak akan mengulas lanjut mengenai merit kes berkenaan sehingga proses disiplin selesai sepenuhnya.-UTUSAN










