MANILA: Gempa bumi kuat berukuran 7.8 skala Richter yang melanda selatan Filipina awal bulan ini mengubah bentuk sebahagian garis pantai secara drastik, dengan menolak dasar laut ke permukaan dan membentuk garis pantai baharu.
Bencana pada 8 Jun itu, yang dicetuskan oleh pergeseran di sepanjang Jurang Cotabato berhampiran Mindanao, mengorbankan sekurang-kurangnya 76 nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar termasuk runtuhan bangunan di beberapa kawasan.
Di sebalik kemusnahan tersebut, gempa itu turut mencetuskan fenomena geologi jarang berlaku dikenali sebagai ‘pengangkatan pantai’, apabila daya tektonik menolak sebahagian dasar laut naik sehingga dua meter.
Fenomena itu turut mendedahkan terumbu karang yang sebelum ini tenggelam serta memanjangkan garis pantai sehingga 200 meter di sesetengah kawasan.
“Apa yang mereka lihat sekarang adalah garis pantai baharu. Dasar laut naik dua meter,” kata jurucakap pusat seismologi Filipina, Nane Danlag, kepada AFP di pejabatnya di Bandar General Santos kelmarin.
Sambil menunjukkan peta, beliau berkata, kawasan yang terjejas melibatkan dua bandar yang terletak hampir 100 kilometer antara satu sama lain.
Danlag berkata, walaupun perubahan pada garis pantai itu dilihat mengejutkan, pergeseran kerak bumi yang membentuknya adalah ‘pergerakan semula jadi’, dan mengesahkan ia bersifat kekal.
Ketua penduduk di Maguindanaon, Datu Atom Malimpning berkata, perubahan garis pantai baharu itu menyebabkan kumpulan nelayan dan keluarga mereka masih bimbang untuk pulang ke rumah mereka yang kini musnah.
“(Dasar laut) naik… Ia tidak sama seperti dahulu. Bagaimana jika laut melimpah ke daratan? Itulah yang ditakuti semua orang,” katanya.
Sementara itu, pekerja resort Isla Jardin del Mar, Edzel Baylon, turut meluahkan kebimbangan terhadap perubahan itu yang menjejaskan tarikan utama destinasi pelancongan.
“Ia memberi kesan besar kepada resort kerana daya tarikan utama pelanggan ialah laut. Malangnya hari ini laut kami menjadi cetek, tidak sesuai untuk berenang,” katanya.- AFP










