PM zahir penghargaan kepada jururawat

PM zahir penghargaan kepada jururawat

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri menzahirkan penghargaan terhadap semua jururawat di negara ini sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia, hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jururawat merupakan antara yang terawal menyambut kita ketika lahir ke dunia dan kekal setia sehingga hari tua.

“Mereka ada tatkala ibu menahan sakit melahirkan kita, ada mendengar tangisan pertama kita, menjaga ketika kita diuji sakit dan terus setia berkhidmat menjaga hingga ke penghujung usia kita.

“Dalam perjalanan hidup, hampir setiap daripada kita pernah merasai sentuhan ihsan seorang jururawat. Menenangkan pesakit yang menahan derita, memujuk anak kecil yang ketakutan, memberi kekuatan kepada keluarga yang cemas dan dalam banyak keadaan menjadi insan yang paling dekat memahami keadaan pesakit,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, pengalaman dan ketelitian jururawat menjadi tonggak membantu doktor memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

Katanya, jururawat merupakan kerjaya mulia yang menuntut pengorbanan, kekuatan jiwa dan ketulusan hati luar biasa.

“Besarnya jasa jururawat sering tidak terungkap dengan kata-kata, namun pengorbanan mereka amat besar nilainya buat rakyat dan negara.

“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. Selamat Hari Jururawat Sedunia,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN