PUTRAJAYA: Kedudukan kewangan negara yang semakin stabil membolehkan kerajaan memulangkan semula hasil itu kepada rakyat tanpa mengira pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat akan dipastikan menikmati manfaat menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk bayaran sekali bayar (one-off) RM1,000 kepada pemandu teksi.
Menurutnya, agihan itu dapat direalisasikan hasil kerja keras penjawat awam dan pelbagai kelompok masyarakat.
“Kerajaan mahu memastikan hasil yang diperoleh negara dapat dikembalikan kepada rakyat sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka selama ini.
“Dalam Belanjawan 2027 baru-baru ini, inilah masa kita pulangkan kepada rakyat kerana sumbangan mereka selama ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pemberian Bantuan Khas Kewangan Kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Zon Tengah di Kementerian Kewangan di sini, semalam
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pemandu teksi memainkan peranan membantu ekonomi dan sektor pelancongan negara melalui tanggungjawab mereka memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.
Anwar berkata, sumbangan semua golongan perlu dihargai dan sudah tiba masanya kerajaan memulangkan sebahagian hasil kepada rakyat menerusi belanjawan.
“Tapi kerana semua ada peranan, jadi inilah masanya dalam belanjawan baru-baru ini saya kata, eloklah ini masa kita pulangkan balik kepada rakyat kerana sumbangan mereka selama ini,” katanya.
Jelasnya, kerajaan tidak memandang rendah mana-mana profesion kerana setiap golongan mempunyai peranan masing-masing dalam membangunkan negara.
Dalam pada itu, di Dewan Rakyat, Anwar berkata, pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 adalah bukti kerajaan menunaikan janji reformasi institusi kepada rakyat dan negara.
Antara reformasi yang terlaksana adalah mengehadkan kuasa kerajaan dan Ketua Majlis (Perdana Menteri) ke atas urusan dalaman Parlimen, sekali gus memperkasa peranan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi negara.
Perdana Menteri berkata, langkah itu merupakan antara tonggak penting agenda reformasi negara yang mencerminkan kesediaan kerajaan membawa perubahan bagi memperkukuh kebebasan institusi Parlimen dan mematangkan sistem demokrasi berparlimen.
“Saya anggap perubahan ini dan Akta Perkhidmatan Parlimen ini penting kerana ia, saya tegaskan memaknai erti demokrasi berparlimen dan kematangan sistem demokrasi.
“Jadi inilah salah satu langkah penting yang saya anggap sebagai tonggak dalam reformasi negara Madani ini iaitu melaksanakan, menunaikan janji kita kepada rakyat bahawa Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenal, diluluskan dan membatasi kuasa yang sedia ada dan lazim ada pada kerajaan dan terutamanya Ketua Majlis,” katanya.
Anwar berkata, langkah memperkukuh kebebasan institusi telah melalui perjalanan panjang sejak pengenalan undang-undang berkaitan pada 1960 sebelum dimansuhkan pada 1992.
Katanya, usaha kerajaan itu turut mencerminkan komitmen untuk meneruskan proses pematangan demokrasi berparlimen yang kejayaannya turut bergantung kepada kewibawaan kepimpinan kedua-dua Dewan serta kesediaan Ahli Parlimen menyokong pembaharuan berkenaan. – UTUSAN











