Kerajaan lancar projek Residensi Siswa UM

Kerajaan lancar projek Residensi Siswa UM

ANWAR Ibrahim (tengah) pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa Universiti Malaya di di Kolej Kediaman Ke-5, Universiti Malaya di sini hari ini. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) akan dibuat secara telus bagi mengekang ketirisan dengan maklumat kos, kontraktor serta jadual pelaksanaannya dihebahkan kepada umum mulai tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan kediaman mahasiswa itu perlu menjadi contoh pelaksanaan yang bersih, bebas daripada rasuah serta diurus dengan penuh dedikasi.

Katanya, kelemahan pengurusan menyebabkan banyak dana negara terbuang dan bocor, justeru pengalaman projek terbengkalai yang kemudian memerlukan tambahan kos perlu dijadikan pengajaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau mengundang saya, ada harganya. Harganya ialah saya akan memantau sendiri pelaksanaannya dan saya minta semua fakulti menjadi pengawas supaya kerja berjalan dengan baik.

“Walaupun ramai yang tidak suka saya membincangkan perkara ini, saya tidak akan mengalah selagi diberi mandat. Tugas saya ialah membersihkan negara daripada amalan seperti ini.

“Ini bukan masalah kaum, kelas atau wilayah. Ini masalah kecurangan kerana kita mengkhianati amanah. Tanggungjawab ini bukannya keistimewaan dan UM mesti membawa kefahaman itu kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa UM di Kolej Kediaman Ke-5, UM di sini, hari ini.

Anwar berkata, pembangunan yang dirancang menempatkan 30,000 mahasiswa itu perlu disiapkan lebih awal berbanding cadangan penyiapan pada 2030 dan perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok.

Katanya, semua kementerian dan jabatan yang terlibat, termasuk Kementerian Kewangan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diarahkan mempercepatkan proses membuat keputusan berkaitan pelaksanaannya.

“Mana-mana syarikat yang tidak mempunyai keupayaan, kita tukar. Kita perlu memastikan syarikat yang terlibat boleh mempercepatkan pelaksanaan dan melakukan kerja yang diamanahkan dengan baik.

“UM mempunyai ruang tanah yang mencukupi untuk menyediakan perumahan mahasiswa. Tanah ini milik universiti dan kita akan menggunakannya bersama syarikat-syarikat milik kerajaan bagi menjayakan pembangunan ini,” katanya.

Menurut Anwar, syarikat milik kerajaan tidak seharusnya menjadikan keuntungan sebagai satu-satunya matlamat kerana mereka turut mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu pembangunan negara.

Katanya, sejak tiga tahun lalu, syarikat-syarikat berkenaan diminta memberikan tumpuan kepada pembangunan dalam negara, sementara pelaburan di luar negara masih boleh diteruskan dan keuntungan mereka akhirnya kembali kepada rakyat.

“Peruntukan tertinggi kita ialah pendidikan, diikuti kesihatan dan pertahanan. Jika hanya menunggu dana kerajaan, kita tidak mampu, sebab itu kita menggabungkan kekuatan syarikat-syarikat milik kerajaan untuk menyumbangkan pelaburan.

“Bangunannya mesti indah, mempunyai seni dan budaya, persekitaran yang baik serta kemudahan mencukupi. Kita tidak mungkin menyediakan kemudahan seperti hotel lima bintang, tetapi keperluan asas mesti dipenuhi.

“Saya mahu UM menjadi contoh awal kerana selepas ini kita mempunyai pembangunan yang sama untuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada fasa kedua yang akan disegerakan, tetapi kita mulakan di sini dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini