Army Run 2026 tarik 6,000 peserta, rapatkan warga ATM dan komuniti

Army Run 2026 tarik 6,000 peserta, rapatkan warga ATM dan komuniti

SEBAHAGIAN daripada 6,000 peserta yang memeriahkan acara Army Run 2026 di Putrajaya, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Acara Army Run 2026 berjaya menarik lebih 6,000 peserta melibatkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi kerajaan, sektor swasta, atlet amatur serta masyarakat umum dari seluruh negara.

Penganjuran acara berkenaan menyaksikan tiga kategori utama dipertandingkan iaitu Army Fun Run sejauh lima kilometer (km), Army Race sejauh 10 km dan Army Half Marathon sejauh 21 km

Cawangan Komunikasi Strategik Tentera Darat dalam satu kenyataan berkata, program tersebut bukan sahaja menjadi platform menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, malah turut menyemarakkan semangat kesukanan, meningkatkan ketahanan fizikal serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan peserta pelbagai latar belakang.

Katanya, program berkenaan dalam masa yang sama dilihat sebagai medium terbaik dalam mendekatkan ATM dengan masyarakat selain memupuk hubungan lebih erat antara pasukan keselamatan dan komuniti.

“Keunikan Army Run 2026 turut diketengahkan melalui penerapan elemen ketenteraan yang memberikan pengalaman berbeza kepada para peserta.

“Antaranya termasuk sokongan logistik sepenuhnya oleh elemen Tentera Darat di bawah Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), sokongan perubatan oleh Kor Kesihatan Diraja (KKD) dengan kemudahan Hospital Medan Tahap 1, serta persembahan pancaragam oleh Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (PP KAD).

” Dalam masa sama, Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) turut mengadakan persembahan hiburan bagi memeriahkan suasana selepas tamat acara larian, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, kenyataan itu juga berkata, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman dalam perutusannya berkata bahawa Army Run 2026 bukan sekadar acara sukan, malah menjadi simbol penyatuan dan manifestasi semangat kemenangan yang menjadi nadi keperkasaan Tentera Darat Malaysia.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa program ini mampu menjadi platform patriotisme yang menyuntik semangat perpaduan rakyat serta memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap Tentera Darat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN