GEORGE TOWN : Seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun meninggal dunia akibat strok haba selepas menyertai acara larian sejauh 30 kilometer (km) di sini, minggu lalu.
Jurucakap Jabatan Kesihatan negeri berkata, mangsa sebelum itu memulakan larian kira-kira pukul 6.30 pagi pada 25 April lalu, namun, dikatakan pengsan ketika hampir tiba di garisan penamat sekitar pukul 4 petang sebelum diberikan rawatan kecemasan di lokasi.
“Mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang (HPP) dalam keadaan kritikal sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Bagaimanapun, lelaki tersebut disahkan meninggal dunia pada pukul 2.08 pagi, 26 April lalu disebabkan strok haba (heat stroke) dengan komplikasi rhabdomyolysis dan kegagalan pelbagai organ,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut jurucakap tersebut, ini kes pertama melibatkan strok haba yang berlaku di Pulau Pinang bagi tahun 2026 ini dan susulan kejadian itu juga, orang ramai khususnya individu yang menjalankan aktiviti luar atau sukan lasak diingatkan supaya sentiasa peka terhadap tahap kesihatan diri serta keadaan cuaca semasa.
“Minum air secukupnya dan hentikan sebarang aktiviti sekiranya mengalami tanda awal kelesuan haba seperti pening, mual atau kekejangan otot. Selain itu, elakkan juga pendedahan berpanjangan di luar, hadkan aktiviti fizikal lasak serta guna pelindung diri seperti topi dan pakaian ringan ketika cuaca panas,” katanya.
Tambah beliau, golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang berpenyakit kronik juga dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala berkaitan haba.-UTUSAN










