30 kediaman rosak akibat ribut di Kepala Batas

30 kediaman rosak akibat ribut di Kepala Batas

ANTARA kediaman yang rosak akibat ditimpa pokok dalam kejadian ribut di Kepala Batas, Pulau Pinang lewat petang tadi.-GAMBAR/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Sekurang-kurangnya 30 buah kediaman dilaporkan rosak akibat ribut yang berlaku di beberapa lokasi di sini, lewat petang tadi.

Difahamkan, selain rumah kediaman, turut terkesan dalam kejadian itu ialah beberapa buah premis perniagaan termasuk bangunan sebuah sekolah menengah serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berlaku pada pukul 7.14 malam tadi sebelum sepasukan anggota dari BBP Kepala Batas, Bertam dan Kuala Muda dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik sahaja sampai di sana, kita dapati terdapat bumbung bangunan yang tertanggal dan pokok tumbang sehingga mengganggu lalu lintas.

“Bantuan dari balai bomba berhampiran juga dihantar ke kawasan Kepala Batas bagi kerja-kerja pembersihan dan rondaan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Siti Amin Ismail, 62, dari Permatang Binjai di sini berkata, ketika kejadian, dia sedang menyediakan makanan untuk cucunya di dapur.

KEADAAN kediaman Siti Amin Ismail selepas bumbung rumahnya tercabut akibat diterbangkan ribut kuat di Permatang Binjai, Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Memang terkedu lihat bumbung diterbangkan angin tak sampai beberapa saat. Angin sangat kuat sampaikan sebahagian bumbung di bahagian ruang tamu juga terangkat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Jelas warga emas itu lagi, ini merupakan kali pertama kediamannya dilanda ribut yang kuat selepas kali terakhir dia menukar bumbung baharu kira-kira tiga tahun yang lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN