Persiaran Pantai Sinaran kini dikenali sebagai Persiaran Chin Fung Kee - Utusan Malaysia

Persiaran Pantai Sinaran kini dikenali sebagai Persiaran Chin Fung Kee

CHOW Kon Yeow (kiri) pada Majlis Perasmian Penamaan Semula Persiaran Pantai Sinaran Kepada Persiaran Chin Fung Kee di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Jalan sepanjang 800 meter di The Light City yang sebelum ini dikenali sebagai Persiaran Pantai Sinaran telah dinamakan semula sebagai Persiaran Chin Fung Kee bagi menghormati jurutera terbilang iaitu mendiang Tan Sri Prof. Dr. Chin Fung Kee.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penamaan semula jalan itu telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 25 Februari lalu.

“Langkah ini merupakan simbol penghargaan tertinggi kepada mendiang atas sumbangan luar biasa beliau terhadap pembangunan Pulau Pinang serta kemajuan akademik negara,” katanya ketika merasmikan penamaan semula jalan tersebut di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sumbangan Fung Kee yang pernah berkhidmat sebagai presiden keempat Institution of Engineers Malaysia dari tahun 1966 hingga 1968 itu sememangnya tidak dapat dinafikan dan telah terpahat dalam sejarah Pulau Pinang serta Malaysia.

“Semoga penamaan jalan ini menjadi peringatan berkekalan kepada kita semua tentang legasi seorang tokoh yang mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia di persada dunia,” katanya.

Fung Kee menerima pendidikan awal di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam sebelum melanjutkan pengajian di Raffles College di Singapura. Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam Kejuruteraan Awam dari Queen’s University Belfast di United Kingdom (UK).

Antara sumbangan utama beliau termasuk pembangunan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya pada tahun 1957 selain memperkenalkan ‘Kaedah Chin’ iaitu teknik kejuruteraan yang digunakan dalam projek-projek utama termasuk pembinaan Kompeks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Jambatan Pulau Pinang yang pertama.

Sepanjang kerjayanya, Fung Kee turut menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, termasuk Ijazah Kehormat Doktor Sains dari Queen’s University Belfast, doktor kehormat sains dari University of Singapore dan University of Glasgow, serta Anugerah Sains Negara daripada Majlis Kebangsaan Penyelidikan Saintifik dan Pembangunan Malaysia.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN