Lebih 21,000 sertai Twincity Marathon 2026

Lebih 21,000 sertai Twincity Marathon 2026

SEBANYAK lebih 21,000 penyertaan diterima dalam acara larian Twincity Marathon yng berlangsung Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 21,000 peserta dari 33 negara menyertai cara Twincity Marathon 2026, sekaligus menjadi antara acara larian maraton terkemuka sebagai pembuka tirai kalendar larian tahun ini.

Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn Bhd, Mohd. Bukhari Ismail berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding edisi 2025 yang mencatatkan penyertaan kira-kira 13,000 pelari sejak diperkenalkan pada tahun 2014.

“Kami membuka pendaftaran seawal Jun 2025 dan merancang menutupnya pada Disember, namun terpaksa menutup lebih awal pada November selepas jumlah penyertaan melepasi 21,000 orang, jauh lebih tinggi berbanding edisi lalu,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut Mohd Bukhari, peningkatan jumlah peserta itu didorong minat yang semakin mendalam terhadap aktiviti larian selain kekuatan jenama Twincity Marathon yang kian kukuh sebagai medan menguji tahap kecergasan selepas tempoh latihan panjang.

Edisi 2026 yang berlangsung pada 17 dan 18 Januari lalu di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya menawarkan enam jarak larian iaitu 3 kilometer (km), 5 km, 10 km, 12 km, 21 km dan 42 km.

Bagi jarak 12 km, 21 km dan 42 km, penyertaan dibahagikan kepada kategori terbuka (16 hingga 39 tahun) dan veteran (40 tahun ke atas).

Jarak 10 km pula diperkenalkan sebagai ‘friendship run’ untuk larian berkumpulan, manakala 5 km terbuka kepada peserta berusia lima tahun ke atas dan 3 km khusus bagi kanak-kanak serta remaja.

Mohd. Bukhari berkata, tumpuan utama sentiasa terarah kepada jarak 12 km, 21 km dan 42 km yang mencatatkan penyertaan tertinggi, masing-masing seramai 4,500, 10,600 dan 3,500 pelari.

Tiga lagi kategori mencatatkan penyertaan 1,300 (10 km), 1,500 (5 km) dan 200 (3 km) peserta.

“Kami turut melakukan sedikit perubahan laluan bagi memberi pengalaman berbeza kepada peserta. Persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya yang mempunyai pelbagai tarikan menyajikan pemandangan menarik sepanjang larian, selain lebih 85 peratus peserta berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Acara 42 km kategori terbuka lelaki dimenangi Muhamad Haziq Hamzah dengan catatan 2 jam 41 minit 41 saat, manakala Noor Pamela Musa muncul juara kategori terbuka wanita dengan masa 3:13:05.

Kategori veteran lelaki dimenangi Nik Fakaruddin Ismail (2:48:37) dan veteran wanita oleh Lee Siok Chin, sementara kategori antarabangsa dimenangi Kazuto Sato (lelaki) dan Vu Khanh Linh (wanita).

Acara 21 km pula menyaksikan kemenangan Wan Azizul Wan Rosley (terbuka lelaki), Chua Khit Yeng (terbuka wanita), Muhaizar Mohamad (veteran lelaki), Ng Mei Mei (veteran wanita), David Kibet (antarabangsa lelaki) dan Nami Kanai (antarabangsa wanita), dengan semua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN