Tidak masuk akal tuduh saya curi RM1.1 bilion buka kedai - Rafizi

Tidak masuk akal tuduh saya curi RM1.1 bilion buka kedai – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyangkal dakwaan yang mengaitkan pembukaan premis perniagaan miliknya iaitu Fleximart dan Kesom dengan dana berjumlah RM1.1 bilion.

Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai satu kenyataan yang tidak masuk akal bagi seseorang yang didakwa memiliki kekayaan luar biasa.

Menjelaskan sumber kewangan bagi memulakan perniagaan terbabit, Rafizi mendedahkan bahawa modal itu sebenarnya datang daripada wang ganjaran atau gratuiti yang diterimanya selepas tamat berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan menteri.

“Ada gratuiti RM400,000. Jadi baik letak duit ini untuk buka perniagaan. Ia memberi banyak manfaat kepada orang lain.

“Formula pengiraan gratuiti bagi penggal pertama sebagai Ahli Parlimen dan jawatan menteri mencecah hampir RM400,000 yang kemudiannya disalurkan sepenuhnya untuk membina model perniagaan mampu milik bagi rakyat,” katanya menerusi podcast Yang Berhenti Menteri (YBM) bersama moderator Haziq Azfar Ishak dan tetamu Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Selain itu, Rafizi turut membandingkan situasi terbabit dengan logik kekayaan luar biasa individu lain.

Katanya, sekiranya benar-benar memiliki RM1.1 bilion, beliau tidak akan memilih untuk menyewa rumah dan menguruskan kedai runcit.

Mengulas serangan peribadi daripada bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

yang kini menyertai PKR, Dr Faiz Na’aman, Rafizi menyifatkan tindakan itu sebagai usaha terdesak untuk mendapatkan perhatian pimpinan atau kerusi dalam parti.

“Dia belum dapat kerusi, jadi sekarang ni dia kena beria-ia buat tuduhan, jadi kaki pukul. Mungkin dia berharap dia dapat kerusi lagilah,” katanya sambil menegaskan tidak terkesan dengan tuduhan terbabit, namun mengingatkan tentang dosa fitnah yang harus ditanggung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN