Belanjawan 2027 dijangka jadi belanjawan terakhir sebelum PRU16

Belanjawan 2027 dijangka jadi belanjawan terakhir sebelum PRU16

pkr
MOHD. RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan membentangkan Belanjawan Bayangan 2027 pada Rabu ini, di ibu pejabatnya.

Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pembentang Belanjawan Bayangan 2027 dari Bersama akan bermula sekitar 8 malam.

Beliau berkata, sementara pentas politik terus kecoh dengan pelbagai drama politik, tumpuan yang sama sepatutnya diberikan kepada perkara-perkara dasar yang ada kesan besar kepada kehidupan seharian rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malangnya, perkara seperti ini tidak diberikan perhatian oleh parti-parti politik atau pun masyarakat. Akhirnya, belanjawan yang dibentangkan kerajaan setiap tahun menjadi acara menunggu gula-gula yang bakal diumumkan.

“Belanjawan 2027 berkemungkinan belanjawan terakhir pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Perdana Menteri dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

Rafizi berkata, sebarang program atau dasar berbentuk gula-gula yang menelan peruntukan tinggi akan mempunyai kesan besar kepada kedudukan kewangan negara dan beban yang akan diwariskan kepada generasi masa depan.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, Belanjawan Bayangan 2027 akan menggariskan pendekatan alternatif dalam menangani cabaran-cabaran utama negara.

“Ia telah melalui proses ekonometrik yang sewajarnya, untuk memastikan angka-angka yang digunakan adalah berasaskan realiti. Ada beberapa anjakan besar yang dicadangkan yang mencabar pendekatan ‘business-as-usual’ dan ‘conventional wisdom’ yang menjadi asas kepada belanjawan-belanjawan kerajaan sebelum ini.

“Pembentangan Belanjawan Bayangan 2027 oleh Bersama akan disusuli dengan satu forum yang melibatkan tokoh-tokoh ekonomi bebas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjemput orang ramai, media, ahli akademik dan aktivis untuk hadir ke majlis tersebut.

“Ahli Bersama dan orang ramai boleh mendaftar kehadiran di laman bersama.org, klik “Acara” dan pilih Belanjawan Bayangan.

“Dokumen Belanjawan Bayangan 2027 akan dimuat naik ke laman bersama.org dan boleh diakses orang ramai bermula jam 8 malam, 7 Oktober 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN