PUCHONG: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa wakil rakyat untuk ‘berpisah’ dengan kerajaan sekiranya tidak lagi mampu menyokong keputusan atau pendirian yang dibuat oleh kerajaan.
Rafizi yang kini memimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) berkata, wakil rakyat berkenaan tidak sepatutnya terus berada dalam kerajaan dan berdiam diri walaupun tidak bersetuju dengan pendirian atau keputusan yang dibuat.
“Kalau kita tidak lagi mampu menyokong keputusan kerajaan yang bercanggah dengan prinsip kita, kita perlu ‘dissociate yourself’ daripada kerajaan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersama, di sini.
Rafizi berkata, wakil rakyat yang mahu mempertahankan prinsip kerana berbeza pendirian dengan dasar kerajaan juga tiada pilihan selain terpaksa mengosongkan kerusi kerana terikat dengan isu lompat parti.
Katanya, atas faktor itu beberapa wakil rakyat termasuk dirinya, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang) meletak jawatan sebagai ahli Parlimen serta menteri.











