AMK cabar Rafizi Ramli dedah belanja perjuangan sia-sia parti Kancil di PRN Melaka - Utusan Malaysia

AMK cabar Rafizi Ramli dedah belanja perjuangan sia-sia parti Kancil di PRN Melaka

Rafizi Ramli dan Huraimi Hilman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli dicabar untuk mendedahkan secara terperinci maklumat perbelanjaan serta perolehan yang dijana parti untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka khususnya apabila parti tersebut masih baharu dalam landskap politik negara.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Huraimi Hilman berkata, persoalannya, mengapa sebuah parti yang baru mula membina kekuatan politik dilihat mampu menggerakkan kempen dengan perbelanjaan yang besar.

Sedangkan, katanya, asas pembinaan sesebuah parti politik seharusnya bermula dengan kerja-kerja khidmat masyarakat, pengukuhan akar umbi dan usaha mendekati rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“AMK percaya bahawa kepercayaan rakyat tidak boleh dibeli melalui kempen yang besar, bahan promosi yang mewah atau perbelanjaan politik yang tinggi.

“Kepercayaan perlu dibina melalui kehadiran yang konsisten, keprihatinan terhadap masalah masyarakat serta kesungguhan memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya hari ini.

Sebelum ini, parti Kancil mendedahkan penyata kewangan kempen parti itu pada PRN Johor, sambil berkata amalan tersebut akan diteruskan dalam semua pilihan raya yang disertainya pada masa depan.

Rafizi berkata, partinya sedang merintis budaya politik baru dengan matlamat akhirnya untuk membanteras rasuah.

Dalam pada itu Huraimi turut mempersoalkan apakah ukuran kejayaan sesebuah parti politik, adakah kejayaan itu terletak pada jumlah wang yang dibelanjakan untuk pilihan raya, atau sejauh mana parti tersebut berjaya membina hubungan dan kepercayaan rakyat?

Katanya, apabila calon-calon Parti Bersama gagal memperoleh kemenangan dan sebahagian besarnya kehilangan wang deposit, seharusnya menjadi ruang untuk menilai semula keberkesanan pendekatan kempen serta keutamaan perbelanjaan parti tersebut.

“AMK tidak mempertikaikan hak mana-mana parti untuk berbelanja bagi tujuan kempen pilihan raya. Namun, apabila perbelanjaan yang besar menjadi persoalan awam, penjelasan mengenai sumber dana, jumlah sumbangan dan pecahan penggunaannya adalah sesuatu yang wajar dituntut.

“Lebih penting, wang yang digunakan dalam politik tidak seharusnya menjadi ukuran utama kekuatan sesebuah parti. Sebaliknya, sumber dan tenaga yang dimiliki perlu dimanfaatkan untuk membina masyarakat, membantu golongan memerlukan dan menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Jangan sampai politik hanya sibuk membelanjakan wang untuk memenangi pilihan raya, tetapi gagal membina kepercayaan rakyat,” katanya.

Bagi AMK, katanya politik yang matang bukan bermula dengan kempen yang mahal, tetapi bermula dengan khidmat yang ikhlas.

Katanya, rakyat tidak memerlukan parti yang hanya hadir ketika pilihan raya, sebaliknya mereka memerlukan kepimpinan yang sentiasa hadir ketika rakyat berhadapan kesusahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini