PRN Melaka: Kempen Armand Azha seperti 'cacing kepanasan' - AMK

PRN Melaka: Kempen Armand Azha seperti ‘cacing kepanasan’ – AMK

Armand Azha dan Mohd Shafiq Iqram
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang dilihat seperti ‘cacing kepanasan’ di tengah-tengah kempen yang semakin memanas dalam PRN Melaka yang berbaki hanya beberapa hari sahaja lagi.

Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah berkata, tindakan Armand yang sanggup memberikan gelaran yang tidak sepatutnya kepada pemimpin negara menunjukkan UMNO berada dalam keadaan terdesak dan terus mengamalkan politik caci-mencaci walaupun pernah ditolak rakyat pada tahun 2018.

Katanya, kenyataan Armand yang menggelarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘strawberi’ dan ‘koyak’ menimbulkan satu persoalan mudah, apakah sebenarnya hujah politik yang mahu beliau sampaikan?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau Armand mahu mengkritik Perdana Menteri, silakan. Tiada pemimpin yang kebal daripada kritikan. Tetapi gelaran yang menghina bukan pengganti kepada hujah yang berasas.

“Lebih menarik, Armand mendakwa kehadiran Anwar ke Melaka menyebabkan BN mendapat lebih banyak undi.

“Saya cabar Armand menjelaskan asas dakwaan tersebut. Adakah beliau mempunyai data tinjauan yang boleh diperiksa, atau sekadar membuat kesimpulan berdasarkan sambutan penyokong sendiri?” katanya hari ini.

Dalam ceramah BN di Melaka baru-baru ini, Armand menggelarkan Anwar sebagai strawberi dan koyak kerana kempen-kempen yang dijalankan oleh BN. Armand turut menyindir bahawa kedatangan Anwar ke Melaka menyebabkan BN meraih lebih banyak undi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pakatan Harapan (PH) akan mengutamakan pendekatan kempen secara aman sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafiq berkata, Barisan Nasional (BN) juga wajar menjelaskan sama ada kenyataan sebegini mencerminkan pendekatan politik yang mahu dibawa oleh kepimpinannya.

Katanya, rakyat berhak menilai bukan sahaja dasar sesebuah parti, tetapi juga mutu wacana yang ditampilkan oleh pemimpinnya.

“Sejarah pilihan raya Malaysia telah membuktikan bahawa keyakinan pemimpin dan keputusan pengundi tidak semestinya sama. Armand tidak perlu membuktikan siapa paling pandai memberikan gelaran.

“Beliau hanya perlu menjawab satu soalan: di mana bukti bagi dakwaan politiknya? Jika ada, bentangkan kepada rakyat. Jika tiada, jangan persembahkan andaian sebagai fakta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini