MELAKA: Pakatan Harapan (PH) dijangka tewas di Selangor sekiranya pilihan raya diadakan ketika ini, susulan beberapa keputusan pilihan raya sebelum ini yang menyaksikan kemerosotan prestasi gabungan itu.
Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, perkembangan di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan penolakan pengundi terhadap PH.
Beliau berkata, di Sabah, DAP hanya memenangi satu daripada 12 kerusi yang ditandinginya, manakala di Johor, PH hanya memperoleh lapan daripada 48 kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN).
“Di Negeri Sembilan, kita buat lagi satu kejutan apabila kita kalahkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook di kerusi Chennah yang mereka rasa itu kerusi paling selamat untuk DAP di Negeri Sembilan.
“Kita ghuyubkan dia. Di Sabah tolak, di Johor tolak, di Negeri Sembilan tolak. Takkan orang negeri Melaka nak jadi pengkhianat kepada gelombang biru ini?,” katanya ketika berucap di Pentas Gelombang Biru Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di sini, malam tadi.
Gulam Muszaffar berkata, perkembangan itu perlu dijadikan gambaran kepada pengundi Melaka bahawa sokongan terhadap PH turut menjadi persoalan di beberapa negeri lain.
Beliau turut mengaitkan perkembangan itu dengan negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang merangkumi Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Masuk negeri SG4, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, tiga campur empat dah jadi tujuh.
“Di Pahang dan Perak, insya-Allah kalau ini berlaku, kita juga akan tolak PH. Tujuh campur lagi dua, sembilan,” katanya.
Beliau menyifatkan Selangor sebagai negeri yang masih menjadi tumpuan dalam percaturan politik PH kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan parti utama dalam pentadbiran negeri itu manakala Pulau Pinang pula diterajui DAP.
“Kalau kena gaya, Selangor pun boleh PH ghuyub kalau dibuat pilihan raya sekarang.
“Tadi sembilan, kita bagilah diskaun satu negeri kepada dia orang ni. Campur Selangor kita ambil, dah ada 10,” katanya. – UTUSAN








