Dasar murid enam tahun tidak realistik untuk Sarawak - Aktivis

Dasar murid enam tahun tidak realistik untuk Sarawak – Aktivis

PETER JOHN JABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pelaksanaan kemasukan Darjah Satu pada umur enam tahun menimbulkan kebimbangan serius di Sarawak disebabkan keadaan sekolah khususnya di luar bandar dan pedalaman yang amat membimbangkan, kata Aktivis Hak Sarawak Peter John Jaban.

Menurutnya, sebahagian besar kawasan di Sarawak masih luar bandar dan pedalaman, dengan banyak komuniti yang masih kekurangan infrastruktur asas.

Malah, katanya masih terdapat kampung yang tidak mempunyai jalan raya yang sempurna, tiada perkhidmatan bas atau bot yang selamat dan berkala, serta dalam sesetengah kes tidak mempunyai sekolah rendah dalam jarak yang selamat dan munasabah.

“Kanak-kanak sering terpaksa menempuh perjalanan jauh melalui sungai, hutan dan laluan berbahaya hanya untuk ke sekolah.

“Bagaimanakah keselamatan kanak-kanak berumur enam tahun di pedalaman Sarawak dapat dijamin, adakah kemudahan asrama mencukupi, adakah bantuan pengangkutan, bilangan guru dan kemudahan sekolah benar-benar tersedia?” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Peter menegaskan pelaksanaan dasar baharu itu mesti dinilai berdasarkan realiti sebenar yang dihadapi Sarawak amnya.

Katanya Kerajaan Persekutuan mesti terlebih dahulu membaiki, menaik taraf dan melengkapkan semua sekolah luar bandar di Sarawak termasuk bangunan sekolah, infrastruktur keselamatan, asrama, sistem pengangkutan serta sumber pengajaran sebelum sebarang dasar yang mewajibkan kemasukan murid seawal umur enam tahun dilaksanakan.

“Reformasi pendidikan tidak boleh dilaksanakan melalui pendekatan berpusat dan satu dasar untuk semua.

“Reformasi sebenar menuntut pelaburan awal dan menyeluruh dalam infrastruktur, sekolah luar bandar, sistem pengangkutan, kebajikan guru dan kemudahan asas khususnya di Malaysia Timur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN