Sekolah luar bandar, pedalaman juga perlu pembantu guru

Sekolah luar bandar, pedalaman juga perlu pembantu guru

KEPERLUAN guru di sekolah luar bandar dan pedalaman juga perlu diberikan pertimbangan meskipun mempunyai bilangan murid lebih kecil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengambilan Pembantu Guru tidak seharusnya tertumpu kepada sekolah berkepadatan tinggi kerana sekolah luar bandar dan pedalaman juga perlu diberikan pertimbangan meskipun mempunyai bilangan murid lebih kecil.

Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, sekolah berkenaan mungkin berdepan kekurangan tenaga kerja serta cabaran operasi yang serius dan keadaan itu perlu diambil kira dalam pelaksanaan inisiatif tersebut.

Katanya, peluasan pengambilan Pembantu Guru ke 200 buah sekolah rendah berkepadatan tinggi serta penambahan secara berfasa selepas penilaian keberkesanan merupakan pendekatan yang wajar dinilai secara sistematik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penilaian tersebut tidak seharusnya hanya mengukur sama ada tugas pentadbiran dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

“Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu menilai pengurangan masa yang digunakan guru untuk kerja perkeranian, perubahan masa yang diperuntukkan kepada pengajaran, tahap kepuasan guru dan kesannya terhadap pengalaman pembelajaran murid.

“Bagaimanapun, kejayaan pendekatan ini bergantung pada kejelasan skop tugas, latihan yang bersesuaian, penempatan berdasarkan keperluan sekolah dan penyelarasan dengan sistem pengurusan sekolah.

“Pembantu Guru boleh membantu mengurangkan sebahagian beban bukan pedagogi sekali gus membolehkan guru memberikan lebih banyak perhatian kepada keperluan pembelajaran murid.

“Peranan Pembantu Guru juga perlu dirangka supaya tidak mengambil alih tanggungjawab profesional guru dalam pengajaran dan pentaksiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Ismi berkata, peningkatan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid dapat membantu keluarga menampung sebahagian kos persediaan persekolahan khususnya mereka yang mempunyai ramai anak bersekolah.

Katanya, peruntukan RM870 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang melibatkan lebih 800,000 murid pula dapat membantu memastikan murid mempunyai keadaan fizikal dan tumpuan yang lebih baik untuk mengikuti pembelajaran.

“Peningkatan RM50 bagi setiap murid memang membantu tetapi kesannya terhadap kebajikan keluarga bergantung pada kos sebenar persekolahan dan keperluan setiap murid.

“Oleh itu, bantuan tunai perlu disokong oleh langkah lain yang memastikan tiada murid tercicir akibat kekangan ekonomi.

“Pelaksanaan RMT perlu memberikan perhatian kepada kualiti makanan, keseimbangan nutrisi, kebersihan, keselamatan makanan dan ketepatan sasaran penerima. Pemantauan juga perlu memastikan peruntukan yang disediakan benar-benar sampai kepada murid yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini