Elaun guru perlu berasaskan tanggungjawab

Elaun guru perlu berasaskan tanggungjawab

PERUBAHAN gred sekolah tidak wajar menjejaskan elaun guru yang masih memikul tanggungjawab sama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONGRES Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) mengambil maklum laporan media mengenai isu penurunan gred sekolah yang turut memberi kesan kepada pembayaran Elaun Tugas Pengurusan Sekolah (ETPS) sebanyak RM120 kepada Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP), khususnya apabila sesebuah sekolah berubah kategori daripada Gred A kepada Gred B atau C.

KONGRES memahami penetapan gred sekolah berdasarkan faktor seperti jumlah murid, penghuni asrama dan pencapaian pendidikan merupakan sebahagian daripada mekanisme pengurusan serta pengagihan sumber Kementerian Pendidikan  (KPM).

Sehubungan itu, KONGRES merakamkan penghargaan kepada KPM atas usaha mengemukakan rayuan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 13 Ogos bagi menangani implikasi pembayaran elaun terhadap guru yang terkesan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan maklumat diterima, seramai 1,356 guru dijangka menerima bayaran tunggakan, manakala 2,504 lagi dikenal pasti perlu membuat bayaran balik.

KONGRES berharap isu berkenaan dapat ditangani secara adil dan berhemah kerana perubahan kategori sekolah tidak semestinya mengurangkan skop tugas GKMP. Mereka masih bertanggungjawab mengurus, menyelaras serta memastikan pelaksanaan kurikulum dan pengurusan akademik berjalan berkesan.

Atas asas itu, pemberian ETPS wajar mengambil kira tugas, tanggungjawab dan beban kerja sebenar, bukan semata-mata berdasarkan gred sekolah. KPM dan JPA juga disaran meneliti semula mekanisme pembayaran supaya tidak berlaku perbezaan layanan terhadap guru yang menjalankan fungsi jawatan sama.

Bagi guru yang terkesan akibat perubahan kategori tersebut, KONGRES mencadangkan mekanisme peralihan yang munasabah, termasuk pertimbangan mengekalkan elaun untuk tempoh tertentu. 

Khususnya bagi 2,504 guru yang berdepan tuntutan bayaran balik, keadaan mereka, tempoh penerimaan elaun serta asas pembayaran terdahulu wajar dipertimbangkan sebelum sebarang tindakan dibuat.

KONGRES turut berpandangan penilaian gred sekolah perlu lebih menyeluruh dengan mengambil kira faktor geografi, lokasi, cabaran pengurusan, komposisi murid, keperluan pendidikan dan beban tugas warga sekolah.

Sehubungan itu, KONGRES menggesa KPM dan JPA membuka ruang perbincangan bersama kesatuan guru bagi menilai kesan dasar serta mencari penyelesaian terbaik. 

Kebajikan guru bukan sekadar berkaitan nilai elaun, tetapi turut mencerminkan pengiktirafan terhadap amanah dan tanggungjawab mereka.

KONGRES berharap rayuan KPM mendapat pertimbangan sewajarnya demi memastikan kepentingan 1,356 guru yang bakal menerima tunggakan dan 2,504 guru yang terlibat dengan bayaran balik terus terbela.-UTUSAN

 

KONGRES KESATUAN GURU-GURU DALAM PERKHIDMATAN PELAJARAN MALAYSIA (KONGRES) 

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini