TRANSFORMASI teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) telah mengubah kehidupan masyarakat, termasuk landskap pendidikan tinggi.
Universiti tidak lagi boleh berfungsi sekadar sebagai tempat menyampaikan maklumat atau melahirkan graduan yang cemerlang dalam peperiksaan dan hafalan. Sebaliknya, institusi pengajian tinggi (IPT) perlu membentuk mahasiswa yang mampu berfikir secara kritis, menilai kesahihan maklumat serta menggunakan teknologi dengan penuh tanggungjawab.
Naib Canselor Universiti Eastern di Dhaka, Prof. Dr. Farid A. Sobhani menegaskan apabila mesin dan algoritma mampu menjana jawapan serta menyelesaikan masalah teknikal dalam beberapa saat, peranan universiti adalah mendidik mahasiswa supaya mampu menilai dan mempersoalkan maklumat.
Keupayaan teknologi memproses data tidak mampu menggantikan empati, pertimbangan moral dan kebijaksanaan manusia.
Keperluan ini semakin mendesak apabila Malaysia berusaha menjadi hab serantau dalam bidang AI, pendigitalan dan teknologi berimpak tinggi.
Perkembangan tersebut menuntut universiti menyemak semula kurikulum agar selari dengan perubahan industri. Ketika ini, masih wujud jurang antara kelayakan akademik graduan dengan kemahiran yang diperlukan majikan, khususnya dalam penyelesaian masalah, komunikasi profesional, etika kerja dan pembuatan keputusan.
Jika mahasiswa hanya dilatih mengejar gred dan menghafal fakta, mereka sukar bersaing dalam persekitaran yang semakin dikuasai teknologi.
Hakikatnya, cabaran ini berkait rapat dengan falsafah ilmu yang diketengahkan oleh tokoh pemikir Islam, Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas menerusi konsep ta’dib. Konsep ini menekankan pembentukan adab, pengiktirafan terhadap kedudukan ilmu serta keupayaan meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Menurut beliau, krisis masyarakat bukan sekadar kekurangan ilmu, tetapi kehilangan adab sehingga pengetahuan digunakan tanpa pertimbangan yang betul.
Pemikiran ini selari dengan pandangan Imam al-Ghazali dalam karya Ihya’ Ulumiddin yang menegaskan bahawa tujuan menuntut ilmu bukan sekadar mengejar kedudukan duniawi, sebaliknya menyucikan jiwa (tazkiyatun nafs), menyempurnakan akal dan membentuk amal soleh. Dalam era AI, prinsip ini penting supaya kemajuan teknologi tidak melahirkan generasi yang cekap dari sudut teknikal tetapi mengabaikan nilai kemanusiaan.
Islam sendiri menuntut umatnya menggunakan akal dan menyelidiki setiap maklumat sebelum menerimanya. Firman Allah SWT dalam Surah Yunus, ayat 101, menyeru manusia memerhatikan serta memikirkan kejadian di langit dan bumi.
Sementara itu, Surah al-Hujurat, ayat 6, mengingatkan orang beriman supaya menyelidiki sesuatu berita bagi mengelakkan tindakan berdasarkan maklumat yang tidak benar. Prinsip tabayyun ini amat penting ketika masyarakat berhadapan lambakan kandungan digital dan maklumat yang dijana AI.
Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadis riwayat Ibn Majah bahawa menuntut ilmu merupakan kewajipan setiap Muslim. Tuntutan ini perlu diterjemahkan melalui usaha membina kefahaman mendalam, bukan sekadar mengumpulkan maklumat tanpa penghayatan.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, kaedah pengajaran di universiti perlu diperbaharui. Bilik kuliah harus menjadi ruang perbincangan dan pertukaran idea, bukannya hanya bergantung pada syarahan sehala. Mahasiswa perlu diberi peluang mengemukakan hujah, menguji andaian berdasarkan bukti serta mempertahankan pandangan secara rasional dan beradab.
Penilaian akademik juga wajar diseimbangkan dengan pendekatan berasaskan projek, kajian kes, simulasi, pembentangan dan kerja lapangan. Kaedah ini dapat menguji kebolehan analisis, kreativiti serta keupayaan mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar.
Pada masa sama, kerjasama antara universiti, industri dan penggubal dasar perlu diperkukuh melalui latihan industri, pementoran profesional, inkubator keusahawanan serta penyelidikan rentas disiplin.
Literasi teknologi, falsafah dan etika juga perlu diterapkan merentas bidang pengajian supaya mahasiswa memahami bukan sahaja cara menggunakan AI, tetapi juga kesan penggunaannya terhadap manusia dan masyarakat. Pensyarah turut perlu diberikan sokongan untuk meningkatkan kemahiran serta menyesuaikan kaedah pengajaran dengan perkembangan semasa.
Kejayaan universiti tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, tetapi keupayaannya melahirkan insan berilmu, beradab dan berintegriti. Dalam era AI, universiti perlu membentuk graduan yang bukan sahaja tahu mendapatkan jawapan, malah mampu menilai kebenaran, memahami implikasi etika dan menggunakan ilmu demi kesejahteraan masyarakat serta kemakmuran negara. –UTUSAN
MOHD AMMYRUL ASHRAF SAIRAN
Pensyarah Kanan,
Unit Pengajian Islam dan Falsafah,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











