Reformasi demi universiti lebih berdaya

Reformasi demi universiti lebih berdaya

KEJAYAAN Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA) bukan sekadar menggantikan akta lama tetapi memastikan universiti lebih adil, telus dan bebas mengembangkan ilmu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI yang hebat bukan sekadar melahirkan graduan cemerlang sebaliknya menjana dan menyebarkan ilmu, menghormati warganya dan membuat keputusan secara adil.

Pembaharuan undang-undang pendidikan tinggi membuka peluang untuk memperkukuh semua peranan ini. Namun, pertukaran nama dalam akta sahaja tidak memadai jika kehidupan warga kampus tidak bertambah baik.

Pada 19 Ogos lalu, Jemaah Menteri bersetuju membangunkan kerangka Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA), susulan hasrat memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30).

Memuatkan artikel berkaitan…

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggariskan kajian bebas, libat urus dan peralihan teratur.

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 merekodkan kadar enrolmen pendidikan tinggi sebanyak 59 peratus pada 2024, masih di bawah sasaran 70 peratus yang ditetapkan bagi 2025. Jurang ini menunjukkan perlunya perluasan akses yang disertai dengan peningkatan mutu pendidikan dan kesejahteraan warga kampus.

Penulis mencadangkan Lima Teras OHEA 5A iaitu:

1. Automasi akademik

Universiti memerlukan ruang menentukan kurikulum, pengajaran, penyelidikan dan penerbitan berdasarkan kepakaran. Pemimpin wajar dilantik menurut merit, integriti dan keupayaan, dengan konflik kepentingan diisytiharkan.

Autonomi bukan kebebasan tanpa had sebaliknya keputusan mesti beretika, adil dan bertanggungjawab.

Kebebasan akademik juga berkaitan dengan pernyataan awam. Peraturan 18, Jadual Kedua, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) menetapkan sekatan tertentu. Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KPT Bilangan 1 Tahun 2025, bertarikh 1 Ogos 2025, dinyatakan memberikan kebenaran am bersyarat kepada staf akademik universiti awam untuk membincangkan penyelidikan dan isu kepakaran.

Skop dan pelaksanaannya tetap perlu dibaca bersama peraturan lain.

OHEA wajar diselaraskan dengan Akta 605 agar pandangan ilmiah berasaskan bukti dilindungi tanpa mengabaikan kerahsiaan dan etika.

Seksyen 267, Akta Pendidikan dan Latihan 2020 New Zealand menawarkan contoh perlindungan kebebasan akademik yang disertai tanggungjawab profesional.

 

2. Akauntabiliti dan keadilan

Kuasa pengurusan perlu diimbangi senat yang berfungsi, audit bebas, penilaian kepimpinan menyeluruh berasaskan bukti serta keputusan beralasan.

Proses tatatertib mesti menjamin notis, peluang didengar, alasan bertulis dan hak merayu. Saluran semakan hendaklah berkecuali, terutama apabila wujud konflik kepentingan.

Ombudsman Pendidikan Tinggi yang bebas boleh diwujudkan atau diselaraskan dengan kerangka Ombudsman Malaysia. Peranannya meneliti salah tadbir dan ketidakadilan prosedur, bukan menggantikan pertimbangan akademik yang sah atau bidang kuasa mahkamah. Bidang kuasa, pelantikan, pembiayaan dan akses aduan mesti jelas.

Keadilan turut meliputi kerjaya pensyarah. Kenaikan pangkat patut menilai kualiti pengajaran, penyeliaan, penulisan, penyelidikan dan khidmat masyarakat mengikut bidang dan keperluan, bukan kuantiti penerbitan semata-mata.

Dasar kemasukan, pengiktirafan pengalaman dan manfaat persaraan bagi doktor falsafah lewat wajar dikaji secara adil dan berkebajikan, dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara.

Pensyarah yang terikat dengan kontrak tajaan pengajian juga memerlukan penyeliaan berkesan serta proses adil apabila berdepan kesulitan.

Syarat kenaikan pangkat harus diumumkan dengan jelas dan perubahan besar diberi tempoh peralihan yang munasabah selepas penglibatan pihak berkepentingan secara telus.

Beban mengajar, menyelia, memperoleh geran dan mengurus laporan perlu diagihkan secara seimbang. Beban tugas perlu munasabah dengan pendigitalan mengurangkan kerja berulang.

Sokongan kesihatan mental yang sulit, cuti sakit dihormati dan saluran aduan yang selamat serta boleh dipercayai juga penting.

 

3. Agiliti kewangan

Ia adalah keupayaan mengurus sumber secara tangkas dan berhemat. Universiti boleh mempelbagaikan pendapatan melalui endowmen, alumni, penyelidikan industri, kegiatan komersial bersesuaian dan perundingan.

Namun, pembiayaan awam bagi ilmu asas, penyelidikan dan pelajar kurang mampu tetap diperlukan.

Audit, ketelusan perolehan dan kawalan risiko mesti mengiringi usaha menjana pendapatan.

KPT pula wajar memudah cara jaringan universiti tersohor dunia, kerjasama akademik dan penyelidikan global secara bermakna, mobiliti ahli akademik, promosi institusi tempatan dan pembiayaan dengan kejayaan diukur melalui hasil dan pengisian sebenar, bukan pengumuman semata-mata.

 

4. Akses inklusif

Pelajar luar bandar, keluarga berpendapatan rendah dan orang kurang upaya memerlukan bantuan bersasar, kemudahan mesra pengguna serta capaian digital.

Akses bukan sekadar diterima masuk tetapi dibantu menamatkan pengajian dengan bermaruah. Ukur juga kemampuan menanggung kos sara hidup, kadar tamat pengajian dan peluang pekerjaan graduan.

Mahasiswa mesti diberi ruang bersuara dalam keputusan yang menyentuh hak mereka. Bantuan tidak harus dinilai melalui bilangan penerima sahaja, malah universiti perlu meneliti sama ada penerima benar-benar mampu mengikuti pengajian, mendapat kemudahan sesuai dan tamat belajar tanpa tekanan kewangan berlebihan.

Universiti hendaklah memperkukuh kemahiran pelajar dalam menulis, berhujah, membentang, bekerjasama dan menyelesaikan masalah.

Bahasa Melayu memperkasa ilmu kebangsaan, manakala bahasa Inggeris membuka jaringan antarabangsa. Usaha ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan, terutamanya pembasmian kemiskinan (SDG 1), pendidikan berkualiti (SDG 4), pekerjaan yang baik (SDG 8) dan pengurangan ketidaksamaan (SDG 10).

 

5. Pengantarabangsaan dan reputasi

Penarafan dunia berguna tetapi bukan ukuran tunggal kecemerlangan. Kerjasama antarabangsa perlu menghasilkan mobiliti ilmuwan, penyelidikan bermutu dan manfaat kepada rakyat.

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menekankan kebebasan akademik serta tanggungjawab profesional. Amalan jaminan kualiti Australia pula mengingatkan pentingnya standard dan pengawasan yang setimpal.

Penilaian institusi juga hendaklah mengiktiraf integriti, mutu pengajaran dan penyebaran ilmu kepada masyarakat.

Dalam era kecerdasan buatan (AI), universiti mesti menjaga data, keaslian karya dan kebebasan berfikir.

Teknologi patut membantu manusia, bukan menggantikan pertimbangan mereka. Pembelajaran sepanjang hayat dan bimbingan bakat muda juga perlu diperkukuh.

Penggubalan OHEA mesti melibatkan pensyarah, mahasiswa, kakitangan, persatuan akademik, pengurusan, industri dan masyarakat.

Dialog berkala dengan KPT, semakan bebas serta laporan tahunan tentang tempoh aduan, keputusan rayuan, beban tugas, bantuan penyelidikan dan kemajuan graduan boleh meningkatkan ketelusan tanpa mendedahkan data peribadi.

Wakil pensyarah dan mahasiswa patut meneliti dapatan bersama pengurusan agar kelemahan dapat dibaiki lebih awal.

Dasar juga wajar disemak secara berkala mengikut perubahan masyarakat, ekonomi, cabaran semasa dan keperluan pekerjaan.

Kejayaan OHEA bergantung pada jaminan kebebasan akademik yang beretika, tadbir urus telus, kerjaya adil, pengurusan kewangan berhemat dan akses pendidikan inklusif.

Reformasi ini perlu disusuli pelaksanaan serta penilaian yang jelas demi kesejahteraan warga kampus, manfaat ilmu kepada rakyat dan kepercayaan masyarakat terhadap universiti. –UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah Profesor Undang-undang Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahli Bersekutu (ACIS (CS) (CGP), The Chartered Governance Institute (CGI) / Chartered Secretaries Malaysia dan Timbalan Presiden, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini