Moto3: Hakim Danish lapan terbaik dunia

Moto3: Hakim Danish lapan terbaik dunia

Hakim Danish sewaktu beraksi pada GP Qatar di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar, hujung minggu lalu. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan prestasi cemerlang apabila berada di kelompok lapan terbaik keseluruhan dengan keputusan dua podium musim ini.

Pelumba berusia 19 tahun yang bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu kini mengumpul 125 mata keseluruhan selepas menokok sembilan mata lagi dari Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar, hujung minggu lalu.

Hakim Danish merupakan pelumba terbaik Malaysia mengatasi senior-seniornya yang pernah tampil dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, lebih-lebih lagi jika dinilai pencapaian keseluruhan dan kutipan mata yang berjaya dikutipnya untuk musim pertama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakim Danish berpeluang menambah koleksi matanya itu dengan dua perlumbaan masih berbaki di Portugal (20-22 November) dan Valencia, Sepanyol (27-29 November) sebelum musim 2026 menutup tirai.

Menilai pencapaian pelumba bimbingannya itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, sembilan mata yang dibawa pulang untuk terus kekal dalam kelompok lapan terbaik dunia merupakan pencapaian membanggakan sebagai pendatang baharu.

“Secara keseluruhan, ia merupakan hujung minggu yang sangat positif buat Hakim Danish di Qatar. Dia membuktikan kepantasannya sejak sesi awal dan turut mara secara automatik ke Q2 (sesi kelayakan). 

“Walaupun permulaan Hakim Danish kurang memuaskan sehingga menyebabkan dia ketinggalan, kebangkitan yang ditunjukkan untuk memintas semula pelumba lain dan merapatkan jurang dengan kelompok hadapan membuktikan dia memiliki kelajuan serta mentaliti untuk bersaing,” katanya.

Menurut bekas pelumba Moto2 dan Moto3 itu, kesilapan kecil di selekoh terakhir adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang penting dan pihaknya yakin pengalaman serta momentum positif di Qatar mampu menjadi bekalan terbaik buat Hakim Danish di Portugal nanti.

Sementara itu, Hakim Danish pula berkata, tersasar sewaktu di selekoh terakhir menjadi punca dia kehilangan posisi lima terbaik.

“Walaupun begitu, saya tetap gembira dapat mengutip mata penting di Qatar. Keputusan ini memberikan motivasi kepada saya untuk terus bekerja keras sebagai persiapan menghadapi dua perlumbaan terakhir di Portugal dan Valencia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini