ALOR GAJAH: Lebih 508,000 pekebun kecil getah di seluruh negara berpotensi menikmati manfaat teknologi torehan secara tebuk, atau dikenali sebagai ‘puncture tapping’ yang bakal diperkenalkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mulai tahun hadapan.
Inovasi itu dijangka membantu meningkatkan pengeluaran lateks, khususnya ketika musim tengkujuh, selain mengoptimumkan potensi pokok getah tua yang masih sesuai diusahakan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya berkata, teknologi berkenaan membolehkan lateks mengalir terus ke dalam bekas pengumpulan bertutup melalui kaedah tebukan pada batang pokok getah.
“Teknologi rintis yang dilaksanakan setakat ini menunjukkan hasil yang signifikan menerusi projek percubaan di Sarawak apabila pengeluaran lateks dilaporkan meningkat berbanding kaedah torehan konvensional.
“Saya telah meminta RISDA melaksanakan projek rintis teknologi ini secara berperingkat di kawasan tanaman getah yang bersesuaian, termasuk ladang milik agensi, dengan mengambil kira potensi kawasan tanaman getah seluas kira-kira 103,000 hektar di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kemakmuran Pekebun Kecil (PKPK) dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), di sini.
Langkah itu mencerminkan komitmen Kerajaan melalui RISDA dalam memperluas inovasi pertanian bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya tahan industri getah serta menjana peluang pendapatan lebih mampan kepada pekebun kecil.
Dalam pada masa sama, Kerajaan melalui KKDW turut memperuntukkan RISDA sebanyak RM132.45 juta untuk Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2026 dengan agihan sasaran 331,142 penerima di seluruh negara.
Pekebun kecil dan penoreh getah yang layak menerusi bantuan ini akan menerima RM400 seorang, iaitu RM200 pada November dan RM200 lagi pada Disember.
RISDA memperkukuh peranan sebagai pembeli getah utama atau ‘anchor buyer’ melalui syarikatnya, RISDA Plantation Sdn. Bhd. Ini membuka pilihan pemasaran dan memberikan keyakinan kepada pekebun kecil untuk terus mengusahakan kebun.
Setakat 5 November lalu, belian melalui program itu mencapai 16,667 tan metrik di seluruh negara.
Ahmad Zahid berkata, inisiatif harga getah bermaruah yang kini sekurang-kurangnya RM5 sekilogram perlu ditingkatkan bagi memastikan kebajikan pekebun kecil getah terus terbela.
Beliau berkata, usaha itu perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tahun ini sahaja, memandangkan pekebun kecil getah telah sekian lama berdepan kesukaran untuk memperoleh pendapatan yang lebih baik.
“Saya tidak mahu harga getah bermaruah ini hanya untuk tahun ini sahaja. Sebaliknya, ia perlu dikekalkan dan ditingkatkan kerana kita tahu pekebun kecil getah telah lama menghadapi kesukaran.
“Saya mempunyai azam tidak mahu lagi melihat pekebun kecil ini terus sengsara sepanjang hayat. Saya harap RISDA bersama pihak lain yang berkaitan dapat membela nasib mereka supaya kehidupan mereka juga lebih baik,” katanya. – UTUSAN











