BARISAN Nasional (BN) optimis mempertahankan kemenangan di Melaka dengan memperkukuh kerjasama bersama Pas dan Perikatan Nasional (PN).
Keyakinan itu turut disandarkan pada rekod pentadbiran kerajaan negeri, pelaksanaan inisiatif kebajikan rakyat dan perancangan pembangunan ekonomi.
Ketua Menteri, DATUK SERI AB. RAUF YUSOH yakin sokongan rakyat menjadi penentu utama kemenangan.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, HADI AB. MANAP dan HAFIZ SAIDINA serta jurugambar, MUHAMAD IQBAL ROSLI, Ab. Rauf berkongsi pandangannya bahawa BN mampu mencabar dominasi lawan terutama di kerusi-kerusi bandar.
Bagaimana gerak kerja kempen BN dan PN di Melaka?
Saya menilai perkara ini daripada pelbagai sudut, khususnya gerak kerja jentera UMNO di seluruh Melaka. Saya dapati pergerakannya tersusun seperti yang kita rancangkan, iaitu memastikan jentera UMNO bergerak bersama Pas.
Memang tidak semua pihak dapat melaksanakan arahan sepenuhnya, namun kita sedang melakukan penambahbaikan, termasuk dalam kaedah berkempen secara bersama. Saya juga melihat suasana dan sokongan rakyat di Melaka ketika ini agak baik serta tenang, tidak sehebat kempen di dua negeri sebelum ini.
Keadaan ini mencerminkan keharmonian yang dapat dinikmati rakyat hasil usaha memastikan kebajikan dan keperluan mereka diberikan perhatian sebelum pilihan raya.
Kebiasaannya, ada pihak yang hanya mula bekerja apabila kempen berlangsung selama dua minggu. Ketika itulah jalan mula diturap dan longkang dibersihkan. Namun, pendekatan kita berbeza kerana kerja-kerja untuk rakyat dilaksanakan lebih awal, sebaik sahaja menerima mandat daripada mereka. Ini kerana tanggungjawab kita adalah memberikan perkhidmatan kepada rakyat, bukannya hanya ketika pilihan raya hampir tiba.
Pendapat mengenai serangan-serangan peribadi, fitnah dan dakwaan dimainkan lawan tetapi nampaknya tidak memberi kesan kepada BN?
Kalau mereka sudah tiada modal, mereka akan cari bahan-bahan remeh untuk dijadikan modal pilihan raya. Walaupun tidak sahih tetapi anggapan itu dianggap sebagai pelanggaran tata etika pilihan raya.
Walau bagaimanapun, saya serahkan kepada pihak berkuasa. Sekiranya laporan itu membuktikan kesalahan, maka boleh diaturkan mengikut kaedah kesalahan pilihan raya. Tetapi kalau sebaliknya, kita lihat situasi ini sebagai keadaan yang mereka telah kehilangan modal.
Pilihan raya negeri (PRN) 2021, BN menang 21 kerusi. Kemudian, pilihan raya umum (PRU) 2022 tewas di semua kerusi Parlimen. Komen Datuk Seri?
Kita sudah membuat kajian menyeluruh tentang faktor kemenangan pada 2021. Namun, pada 2022, kita gagal memenangi walaupun satu kerusi Parlimen.
Perubahan dasar kerajaan ketika itu yang membolehkan golongan muda dan individu yang sebelum ini tidak berdaftar menjadi pengundi buat pertama kali pada 2022 menyebabkan pertambahan pengundi baharu dalam jumlah luar biasa.
Sebelum ini, pengundi lazimnya mendapat panduan daripada parti politik melalui handbill (risalah) yang diedarkan. Namun, kemasukan kelompok besar pengundi baharu mengubah keadaan kerana mereka tidak mempunyai panduan yang sama. Sebaliknya, parti yang memerintah ketika itu mengambil peluang menggunakan teknologi dengan menghantar risalah elektronik atau e-handbill secara terus kepada pengundi baharu. Kaedah ini memberikan kelebihan kepada mereka untuk mendekati pengundi dan mempengaruhi pilihan awal, khususnya golongan muda.
Bagaimanapun, berdasarkan siri pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung sejak 2022 hingga kini, parti yang menggunakan pendekatan tersebut tidak lagi berjaya mengekalkan sokongan rakyat.
Saya melihat sokongan yang terbentuk melalui kaedah itu sebagai sokongan artificial (buatan), bukannya lahir secara organik daripada hubungan sebenar antara parti dengan rakyat.
Bagi saya, sokongan yang kukuh perlu dibina melalui kepemimpinan yang dirasai, kehadiran pemimpin yang dihargai serta usaha mendekati rakyat secara langsung.
Sebab itu, kita menggunakan pendekatan Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), iaitu turun padang, menelusuri masalah yang dibangkitkan rakyat dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian.
Pandangan terhadap Pas dan PN. Mungkin ada kesangsian selepas Muafakat Nasional (MN) terkubur?
Kesangsian ketika itu amat tinggi sebelum ini berbanding keadaan sekarang. Kali ini, kita berkongsi matlamat sama dan mempunyai persefahaman yang dimeterai lebih awal. Selepas kejayaan kerjasama di Negeri Sembilan, kita kini beralih ke Melaka.
Sebelum ini, ketika kita bersama-sama menguruskan kerajaan, kerjasama dengan PN, khususnya Pas, tidak bertahan lama. Pas juga pernah diberikan ruang untuk bersama-sama dalam pentadbiran kerajaan, namun kerjasama itu tidak berpanjangan berikutan dasar yang ditetapkan Pas Pusat.
Keadaan kali ini berbeza. Persefahaman telah dicapai sebelum kerjasama dimulakan. Saya melihat pendekatan sekarang lebih terancang, teratur dan tersusun, sama ada dari segi persefahaman politik, gerak kerja mahupun strategi memenangi pilihan raya.
Kedua-dua pendekatan ini berbeza. Dahulu, kita bergabung selepas memenangi pilihan raya tetapi kali ini kita bekerjasama terlebih dahulu untuk mencapai kemenangan bersama.
Bagaimana rundingan kerusi PRN kali ini dicapai?
Inilah yang saya maksudkan apabila menyebut tentang persefahaman. Perkara ini dapat dilihat apabila kita menetapkan BN akan mempertahankan 21 kerusi, manakala tujuh kerusi lagi diberikan kepada Pas.
Tiada tuntutan atau ugutan untuk menarik diri daripada kerjasama. Mereka menerima pembahagian tersebut kerana sesuatu perjanjian perlu mengambil kira kepentingan dan keselesaan kedua-dua pihak. Kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan sebelum memeterai perjanjian.
Persetujuan ini tidak menimbulkan prasangka atau prejudis antara kedua-dua pihak untuk bergerak bersama. Keutamaan pertama adalah memenangi pilihan raya di Melaka. Selepas itu, barulah kita bergerak ke arah Putrajaya. Itulah matlamat kerjasama ini.
Bagaimana pula dengan Parti Wawasan Negara (Wawasan)?
Kita tidak berunding dengan Wawasan kerana Pas merupakan satu parti induk dalam PN. Jadi, Wawasan ataupun parti gabungan mereka, kita serahkan kepada kebijaksanaan Pas untuk berunding.
Saya mengalu-alukan apa juga keputusan rakan kita kerana menghormati garis sempadan yang ditentukan.
Tiga inisiatif kerajaan negeri yang paling berimpak kepada rakyat Melaka?
WRUR, Hari Exco Bertemu Rakyat (Hebat) dan juga Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat. Kerana kita kena faham, menjadi seorang pentadbir negeri sebenarnya menguruskan sebuah ‘big enterprise’ untuk membuat dasar dan dasar itu akan dirasai oleh rakyat keseluruhan.
Kita tidak membuat dasar berdasarkan kepada kepentingan satu kaum atau pun kepentingan mana-mana individu. Kita membuat dasar untuk kepentingan semua rakyat yang dinaungi oleh pentadbiran kita.
Tetapi tengok hasil daripada kesefahaman ataupun hala tuju yang kita arahkan untuk memakmurkan Melaka, dapat diterima rakyat negeri ini. Tatkala kita menelusuri rakyat dalam program WRUR untuk rakyat.
Jika diberi mandat kembali, apa perkara yang akan diselesaikan dalam tempoh 100 hari?
Saya tidak mengukur 100 hari. Saya mengukur dari hari pertama kita diberi mandat sehingga hari terakhir.
Menyantuni rakyat mesti dilakukan dalam satu penjadualan yang begitu teliti. Program WRUR ini tidak akan dihentikan semata-mata kerana pilihan raya sudah berakhir. Program WRUR merupakan inisiatif khidmat kepada rakyat yang dilaksanakan secara berterusan, bukan sekadar untuk meraih sokongan ketika pilihan raya.
Jadi tiga program ini akan diteruskan?
Ya, kita akan terus menyantuni rakyat. Kita akan terus mengetuk pintu hati rakyat. Kita tidak mahu rakyat mengetuk pintu pejabat exco atau wakil rakyat untuk menyampaikan masalah.
Bagaimana memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar?
Selama ini, kita kurang memberikan tumpuan kepada kawasan bandar kerana kawasan tersebut sudah mempunyai pelan pembangunan tersendiri. Pada masa sama, setiap daerah di Melaka, iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin, sudah mempunyai perancangan pembangunan masing-masing yang akan dilaksanakan secara berperingkat dan berkala.
Pandangan Datuk Seri mengenai politik khidmat contoh seperti berlaku di Duyong?
Saya rasa bukan Duyong sahaja, malah semua kawasan turut menjadi tumpuan kita menerusi program WRUR yang mendekati dan menyantuni rakyat. Melalui pendekatan ini, setiap wakil rakyat mempunyai ruang untuk berkarya di pentas politik masing-masing.
Jika dilihat, kesemua 21 wakil rakyat yang diberikan amanah berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat menerusi program WRUR. Dari segi pelaksanaannya, setiap wakil rakyat mempunyai pendekatan dan kreativiti tersendiri.
Perkara ini dapat dilihat melalui usaha Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem dan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang membawa pendekatan masing-masing dalam karya politik mereka.
Walaupun pendekatan dan kreativiti berbeza, namun asas perjuangannya tetap sama, iaitu WRUR.
Adakah mustahil untuk tembus empat kubu kuat DAP?
Politik ialah seni 1,001 kemungkinan. Kalau tanya saya, saya tidak mengatakan susah untuk menembus kerusi kubu-kubu kuat DAP. Dulu Malaysia ini kubu kuat UMNO, akhirnya UMNO tumbang. Kenapa? Mesti ada satu benda yang menyebabkan rakyat tidak mahu dengan parti itu ketika itu.
Begitu juga dengan sekarang. Sebenarnya bukan DAP itu sendiri yang kuat tetapi rakyat yang bagi parti itu kuat.
Jika rakyat berubah fikiran dan mahukan perubahan, keputusan itu terletak di tangan mereka sendiri. Jadi, apabila ditanya sama ada pendekatan perlu diubah menjelang pilihan raya, bagi saya kita tidak seharusnya terus mengulang naratif mengenai kepentingan mana-mana kaum semata-mata untuk meraih sokongan.
Di antara empat kerusi itu, kawasan mana yang paling berpotensi dirampas?
Sebagai orang politik, saya menganggap semua kerusi mempunyai potensi yang baik. Itulah pemikiran yang membawa kepada kemenangan. Kita tidak boleh kata ini tidak boleh, itu tidak boleh, peluang sama.
Sasaran untuk PRN kali ini?
Kita mempertahankan 21 kerusi dan pada masa sama menggariskan panduan supaya rakan strategik mempunyai peluang untuk memenangi lebih banyak kerusi, mungkin 23, 24, 25 atau 26. Perkara itu bukan sesuatu yang mustahil. Jika dianggap mustahil, UMNO juga tidak sepatutnya pernah tewas dalam pilihan raya.
Hakikatnya, kekuatan sesebuah parti bukan terletak pada parti itu sendiri, sebaliknya pada sokongan rakyat. Rakyatlah kubu sebenar yang menentukan kekuatan dan kelangsungan sesebuah parti politik.
Bagaimana BN mahu mengubah persepsi pengundi di kawasan bandar?
Tidak perlu diubah kerana rakyat akan menilai sama ada dasar yang dilaksanakan oleh parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan mampu membawa kebaikan kepada mereka. Melalui pelaksanaan dasar tersebut, rakyat dapat merasai sendiri manfaatnya.
Seperti yang saya katakan tadi, apabila kita menjadi kerajaan dan mentadbir negeri, tugasnya ibarat menguruskan sebuah syarikat besar. Jika dasar yang dilaksanakan baik, rakyat akan menerima manfaatnya. Keadaan ini sama seperti pekerja yang diberikan bonus, mendapat perhatian dan kebajikan mereka sentiasa dijaga. Apabila semua keperluan itu diberikan perhatian, sudah tentu mereka akan menghargai usaha tersebut dan terus memberikan sokongan.
Perancangan untuk menjadikan Melaka negeri pelaburan?
Kita akan membuka kawasan perindustrian baharu bagi menyediakan ruang lebih luas kepada pelabur untuk mengembangkan perniagaan di Melaka. Kawasan perdagangan bebas di Batu Berendam dan Tanjung Kling yang telah beroperasi selama 52 tahun membuktikan pengalaman negeri ini dalam membangunkan sektor perindustrian.
Melaka turut mempunyai kelebihan dari segi tenaga kerja mahir dengan sokongan 67 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Kemudahan ini mampu menarik lebih ramai pelabur untuk membuka operasi sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
Ketika ini, Melaka mempunyai 24 kawasan perindustrian yang menyediakan lebih 200,000 peluang pekerjaan kepada rakyat. Permintaan untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan juga amat menggalakkan, terutama dengan kehadiran syarikat bertaraf dunia.
Antaranya termasuk Konica Minolta yang mempunyai antara kilang terbesarnya di dunia di Melaka, Xinyi yang mengendalikan kilang kaca ketiga terbesar dunia serta Infineon yang telah bertapak selama 52 tahun. Selain itu, Texas Instruments turut beroperasi di negeri ini, manakala Codenko sedang mengembangkan kilang baharunya di Ayer Keroh.
Kita mahu terus memperluas peluang pelaburan melalui pembukaan kawasan perindustrian baharu seluas 5,000 ekar. Kita juga membangunkan German Technology Park berhampiran Ayer Keroh yang kini diuruskan oleh MCorp (Perbadanan Melaka). Sambutan terhadap kawasan ini amat menggalakkan dan apabila dibangunkan sepenuhnya, kita perlu menyediakan kawasan perindustrian tambahan bagi menampung permintaan seterusnya.
Matlamat utama usaha ini adalah untuk menarik lebih banyak pelaburan, mengembangkan sektor perindustrian dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada anak-anak Melaka.
Komen Datuk Seri mengenai projek-projek dibangkitkan Pakatan Harapan (PH) seperti Melaka Sentral dan monorel?
Melaka Sentral merupakan hab pengangkutan bas yang menghubungkan Melaka dengan destinasi di seluruh negara.
Saya akui kemudahan ini merupakan pembangunan lama yang memerlukan kerja-kerja penambahbaikan. Ketika ini, kita sedang menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan tersebut.
Selain itu, Melaka turut mempunyai projek yang berasaskan Dana Inisiatif Swasta (PFI), termasuk projek monorel. Dalam pelaksanaannya, kerajaan hanya berperanan sebagai pemudah cara kepada cadangan pembangunan yang dikemukakan pihak swasta.
Bagaimanapun, kemelesetan ekonomi sebelum ini menyebabkan syarikat terlibat tidak berupaya meneruskan projek tersebut. Mereka juga berhadapan kes mahkamah yang perlu diselesaikan. Saya difahamkan perkara itu telah pun diselesaikan dan insya-Allah, kerja-kerja baik pulih kawasan berkenaan dijangka dapat dilihat pada tahun depan.
Maksudnya monorel akan kembali?
Kita akan memperkenalkan pendekatan baharu kerana teknologi monorel sedia ada sudah agak lama. Oleh itu, kita sedang meneliti satu tarikan baharu yang memanfaatkan infrastruktur sama tetapi menggunakan kaedah lebih menarik. Cadangan ini kini dalam penelitian pihak pentadbiran.
Bagaimana Datuk Seri melihat trend penubuhan parti berbilang kaum?
Keadaan sekarang menunjukkan parti sedemikian belum begitu popular. Sebaliknya, terdapat kebimbangan sekiranya parti Melayu Islam terus berkembang, ia akan membentuk satu koridor Melayu di seluruh Semenanjung.
Kita perlu ingat masyarakat Cina hanya merangkumi kira-kira 25 peratus daripada penduduk manakala majoriti penduduk adalah orang Melayu.
Jadi, saya melihat kekuatan gabungan parti yang ada sekarang, sama ada PN mahupun BN, sebenarnya turut memberikan kekuatan kepada parti-parti lain yang bersama-sama dalam gabungan berkenaan.
Ini kerana MCA dan MIC yang turut berada dalam gabungan BN mendapat sokongan masyarakat Melayu melalui kerjasama dalam gabungan tersebut. Kita melihat perkara ini dari sudut positif kerana penyatuan orang Melayu tidak bermakna mengetepikan rakan-rakan gabungan. Sebaliknya, semua pihak perlu bergerak bersama-sama untuk membangunkan Malaysia. –UTUSAN











