Industri pendidikan swasta dan ekuiti Bumiputera - Utusan Malaysia

Industri pendidikan swasta dan ekuiti Bumiputera

Maka, persoalan besar bukan sekadar berapa ramai Bumiputera bekerja dalam IPS, tetapi sejauh mana Bumiputera mempunyai pemilikan dalam industri itu? - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Merujuk kenyataan media Kementerian Pendidikan (KPM) pada 21 September lalu bertajuk ‘Penyelarasan Syarat Pemilikan Institusi Pendidikan Swasta Bawah Kementerian Pendidikan, terdapat frasa yang berbunyi “… KPM bersetuju bahawa ketetapan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS bawah KPM”. Ini membawa maksud sebagai pengguguran atau pemansuhan syarat 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera di dalam institusi pendidikan swasta di bawah KPM.

Hakikatnya, pendidikan swasta adalah industri besar. Sektornya merangkumi prasekolah, pendidikan rendah, menengah, teknikal dan vokasional, kolej, universiti, pusat tuisyen, serta perkhidmatan pendidikan lain.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM 2023) menunjukkan keseluruhannya pada 2022 terdapat 18,242 institusi pendidikan swasta pelbagai saiz di Malaysia, meningkat daripada 11,722 pada 2015, berkembang pada kadar tahunan 6.5 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam tempoh sama, hasil sektor perkhidmatan pendidikan swasta negara meningkat daripada RM15.2 bilion kepada RM24.1 bilion, berkembang sebanyak 6.9 peratus manakala nilai tambah industri pendidikan swasta (IPS) antara 2015 dan 2022 pula meningkat daripada RM9.4 bilion kepada RM15.1 bilion, berkembang 7.0 peratus.

Sektor pendidikan swasta di Malaysia melibatkan 186,354 tenaga kerja pada 2022, berbanding 134,361 orang pada 2015. Jumlah upah meningkat daripada RM4.3 bilion kepada RM6.3 bilion manakala nilai aset tetap industri pendidikan swasta meningkat daripada RM14.3 bilion kepada RM21 bilion bagi tempoh sama.

Angka-angka ini adalah angka rasmi DOSM untuk keseluruhan IPS dari peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, pendidikan tinggi. Ia seharusnya membuka mata kita tentang saiz sebenar IPS di negara ini. Lebih penting, sektor ini mempunyai permintaan berterusan.

Data ini membuktikan IPS sudah menjadi sektor ekonomi yang mempunyai modal, aset tenaga kerja dan nilai tambah besar. Apabila sektor industri mencapai skala sedemikian, satu persoalan menjadi relevan diutarakan, siapakah yang memiliki industri tersebut?

Di sinilah persoalan pemilikan menjadi penting. Dalam perbincangan mengenai penyertaan Bumiputera dalam pendidikan, perhatian sering diberikan kepada akses pendidikan, latihan, graduan, pekerjaan dan keusahawanan. Semua itu penting. Tetapi dalam konteks sebuah industri yang semakin besar, satu lagi ukuran perlu diberi perhatian adalah pemilikan modal IPS.

Pekerjaan memberikan pendapatan. Guru atau pensyarah Bumiputera mungkin menjadi tenaga penting dalam IPS. Namun, kedudukan sebagai pekerja berbeza daripada pemilik ekuiti. Pemilikan memberikan kepentingan dalam aset, ekuiti, keuntungan dan pertumbuhan nilai syarikat.

Maka, persoalan besar bukan sekadar berapa ramai Bumiputera bekerja dalam IPS, tetapi sejauh mana Bumiputera mempunyai pemilikan dalam industri itu?

Menurut KPM, penyelarasan itu dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan.

Sebenarnya isu ini mempunyai dimensi lebih luas daripada sekadar syarat operasi institusi pendidikan. Ia menyentuh kawal selia pendidikan, dasar pemilikan ekuiti dan strategi pembangunan ekonomi Bumiputera di dalam industri pendidikan swasta.

Keterbukaan pasaran dan mengekalkan pemilikan ekuiti Bumiputera tidak semestinya dua agenda yang bertentangan. Di sinilah perbincangan dasar berkaitan ekonomi Bumiputera perlu bergerak daripada persoalan “ada atau tiada kuota Bumiputera” kepada persoalan yang lebih substantif, apakah mekanisme yang akan mampu memastikan kumpulan Bumiputera terus berpeluang membina pemilikan dalam industri pendidikan swasta?

IPS memerlukan modal, teknologi, kepakaran dan pelaburan jangka panjang. KPM sendiri menyatakan penyelarasan syarat itu bertujuan memenuhi keperluan semasa sektor dan mengekalkan ruang penyertaan kepada semua pihak. Namun, dibimbangi, dasar keterbukaan pasaran sektor pendidikan swasta tidak menghasilkan struktur pemilikan seimbang. Pemilikan melalui pasaran terbuka banyak bergantung kepada siapa yang mempunyai modal, akses pembiayaan, kepakaran pengurusan dan keupayaan mengembangkan syarikat.

Maka, jika instrumen syarat ekuiti Bumiputera dimansuhkan, persoalan dasar yang mesti diteliti sekarang adalah sama ada terdapat instrumen lain mampu membina kapasiti pemilikan Bumiputera di dalam IPS?

Data DOSM tentang pemilikan RM21 bilion aset tetap sektor pendidikan swasta pada 2022 juga penting untuk diteliti. Di belakang angka besar itulah terdapat aset fizikal seperti bangunan, tanah, kampus, makmal, peralatan, teknologi dan pelbagai kemudahan yang mempunyai nilai ekonomi.

Sebab itu, perbincangan tentang ekonomi Bumiputera mengenai pembangunan pendidikan swasta tidak wajar hanya diukur dengan pekerjaan dan pendapatan. Kita juga perlu mengetahui struktur pemilikan aset.

Berapakah nilai aset pendidikan swasta dimiliki Bumiputera? Berapakah bangunan sekolah, kolej dan universiti yang mempunyai pemilikan Bumiputera? Persoalan ini tidak dapat dijawab dengan data pendidikan biasa kerana statistik pendidikan hanya mengukur bilangan pelajar, guru, institusi dan pencapaian. Kita memerlukan data pemilikan ekonomi Bumiputera dalam sektor pendidikan swasta. Tanpa data itu, perdebatan tentang pemilikan Bumiputera menjadi sekadar andaian.

Jika pendekatan kerajaan sekarang lebih kepada menekankan keterbukaan pasaran, maka agenda pemilikan Bumiputera memerlukan instrumen afirmatif berbeza. Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan adalah penubuhan Dana Ekuiti Pendidikan Bumiputera untuk pelaburan dalam syarikat pendidikan Bumiputera yang berpotensi, skim pembiayaan pengambilalihan institusi pendidikan sedia ada dan skim padanan pelaburan antara kerajaan, institusi kewangan serta pelabur.

Tumpuan juga perlu diberikan kepada sektor pendidikan dan latihan yang sedang berkembang seperti edtech, kecerdasan buatan, kandungan digital dan platform pembelajaran. Dalam ekonomi pendidikan masa depan, pemilikan tidak semestinya terletak pada bangunan sekolah atau kampus. Ia juga terletak pada teknologi, data, kandungan dan harta intelek.

Selama ini, pendidikan sering dilihat melalui lensa pembangunan modal insan. Perspektif itu tetap penting. Tetapi skala IPS menunjukkan kita memerlukan satu lagi lensa iaitu industri pendidikan sebagai sektor ekonomi strategik. Oleh itu, strategi pendidikan swasta tidak seharusnya hanya bertanya siapa yang mendapat pendidikan, tetapi juga siapa yang membina dan memiliki ekonomi pendidikan.

Dan paling penting, siapa sebenarnya akan memiliki aset dan ekuiti daripada pertumbuhan industri pendidikan swasta di Malaysia? Soalan-soalan ini memerlukan jawapan yang rasional berasaskan data, malangnya, itu yang belum dapat dilaksanakan buat masa ini.

Pendidikan swasta bukan sekadar membina modal insan. Ia juga membina modal ekonomi. Kita perlu membina kemampuan Bumiputera untuk memiliki industri. Di situlah letaknya cabaran sebenar pendidikan swasta Malaysia selepas pemansuhan syarat ekuiti 30 peratus Bumiputera.

Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN