Perhimpunan pagi jangan sekadar rutin

Perhimpunan pagi jangan sekadar rutin

PERHIMPUNAN pagi wajar diadakan mengikut keperluan dengan tetap mengutamakan disiplin, keselamatan dan kebajikan murid. -GAMBAR HIASAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPAN murid di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dipenuhi jadual harian yang padat, bermula seawal pagi hingga lewat malam. 

Selain mengikuti pembelajaran akademik, mereka perlu mengurus diri, menyertai aktiviti kokurikulum dan menghadiri kelas persediaan. Oleh itu, pelaksanaan perhimpunan pagi wajar dinilai semula agar masa murid dapat dimanfaatkan dengan lebih baik.

Tidak dinafikan, perhimpunan pagi bertujuan memeriksa kehadiran, menyampaikan maklumat serta membentuk disiplin. Namun, pelaksanaannya setiap hari kurang sesuai sekiranya tiada perkara penting untuk disampaikan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengumuman ringkas atau peringatan biasa boleh disalurkan melalui ketua dormitori, pengawas atau saluran komunikasi rasmi sekolah.

Masa pada awal pagi amat berharga. Jika perhimpunan mengambil masa 20 minit sehari, sebanyak 100 minit digunakan sepanjang lima hari persekolahan. Tempoh tersebut boleh dimanfaatkan untuk bersarapan dengan tenang, membuat persediaan pelajaran atau membaca sebelum memulakan sesi pembelajaran.

Kesejahteraan emosi murid juga perlu diberikan perhatian. Jadual yang padat serta tuntutan akademik boleh menimbulkan tekanan, khususnya kepada mereka yang masih menyesuaikan diri dengan kehidupan asrama. Suasana pagi yang teratur dan tenang dapat membantu murid memulakan hari dengan lebih positif.

Bagaimanapun, pengurangan perhimpunan tidak bermaksud aspek disiplin dan keselamatan boleh diabaikan. Pemeriksaan kehadiran serta pemantauan keberadaan murid boleh dilaksanakan secara sistematik mengikut dormitori atau blok asrama. 

Perhimpunan pula boleh diadakan apabila terdapat taklimat keselamatan, pengumuman penting atau penyelarasan program yang memerlukan penglibatan semua murid.

Pihak pengurusan juga perlu membina disiplin melalui kesedaran dan tanggungjawab diri, bukannya bergantung sepenuhnya pada arahan berulang. Murid perlu diberikan kepercayaan untuk mengurus masa serta mematuhi peraturan tanpa pengawasan berterusan.

Sudah tiba masanya pihak pengurusan SBP dan MRSM menilai semula rutin ini supaya setiap aktiviti mempunyai tujuan yang jelas dan memberikan manfaat kepada murid. -UTUSAN

 

AZIZUL ASYRAF

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini