Terbang rendah di permukaan tasik, hinggap pada pucuk tumbuhan air atau sesekali melintasi laluan pejalan kaki, pepatung sering dianggap sekadar serangga kecil yang menceriakan suasana taman rekreasi.
Namun, di sebalik sayapnya yang berkilauan dan gerakannya yang pantas, kehadiran pepatung sebenarnya membawa petunjuk penting tentang keadaan alam sekitar, khususnya tahap kesihatan ekosistem air.
Malah, kepelbagaian spesies dan jumlah pepatung yang mendiami sesuatu kawasan boleh menjadi petunjuk awal sumber air di situ masih mempunyai kualiti yang baik serta menyokong kehidupan hidupan akuatik.
Pensyarah Kanan Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nor Akmar Abdul Aziz berkata, pepatung mempunyai hubungan rapat dengan ekosistem air kerana sebahagian besar kitaran hidupnya bergantung kepada habitat berkenaan.
“Pepatung mempunyai kitaran hidup yang bergantung kepada habitat air dan daratan.
“Jadi, kehadirannya biasanya menunjukkan kawasan air di lokasi itu berada dalam keadaan yang baik dan relatif bersih,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kehadiran pepatung semata-mata tidak boleh dijadikan pengesahan mutlak bahawa sesuatu sumber air bebas pencemaran.
Sebaliknya, kepelbagaian spesies dan kelimpahan pepatung perlu dilihat bersama faktor lain seperti kualiti air, keadaan tumbuhan serta tahap gangguan manusia terhadap habitat berkenaan.
Lebih menarik, pepatung bukan sekadar menjadi petunjuk kepada kesihatan ekosistem, malah berperanan sebagai kawalan biologi semula jadi dengan membantu mengurangkan populasi serangga kecil termasuk nyamuk.
Selain itu, kehadirannya turut memberikan nilai tambah kepada kawasan rekreasi apabila membuka peluang kepada aktiviti pemerhatian biodiversiti, fotografi alam semula jadi dan pendidikan alam sekitar.
Pensyarah Kanan Institut Sains Biologi, Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), Ts. Dr. Noorhidayah Mamat berkata, pepatung tergolong sebagai bioindikator yang sensitif terhadap perubahan persekitaran, khususnya keadaan habitat air.
Katanya, kepelbagaian spesies pepatung yang tinggi secara umumnya menunjukkan habitat air yang lebih baik, namun terdapat juga spesies yang mampu bertahan dalam keadaan tercemar.
“Larva pepatung hidup di dalam air dan bergantung kepada keadaan habitat yang sesuai. Secara umumnya, kepelbagaian spesies yang tinggi menunjukkan air lebih bersih.
“Namun, kehadiran spesies pepatung yang mempunyai toleransi tinggi terhadap pencemaran juga boleh menandakan keadaan air kurang sihat,” katanya.
Tambah Noorhidayah, Malaysia mempunyai kelebihan daripada segi kepelbagaian pepatung berikutan iklim tropika lembap serta kewujudan pelbagai habitat air tawar seperti sungai, tasik, paya, kolam, hutan tanah rendah dan kawasan tanah lembap.
Lebih 400 spesies daripada kumpulan Odonata direkodkan di Malaysia, manakala kira-kira 200 spesies dikenal pasti di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, jumlah spesies yang boleh ditemui di sesuatu kawasan bergantung kepada keadaan habitat, kualiti air, litupan tumbuhan, gangguan manusia dan kewujudan kawasan pembiakan yang sesuai.
Peranan pepatung juga tidak terhenti pada peringkat dewasa kerana larvanya menjadi pemangsa kepada organisma kecil di dalam air, termasuk jentik-jentik nyamuk dan larva serangga lain.
Apabila dewasa, pepatung pula memburu serangga terbang seperti nyamuk, agas dan lalat kecil, sekali gus membantu mengawal populasinya secara semula jadi tanpa terlalu bergantung kepada penggunaan racun serangga.
KIAN TERANCAM
Namun, kelangsungan hidupan kecil ini semakin terdedah kepada ancaman perubahan iklim, pembangunan bandar dan peningkatan aktiviti manusia yang mengubah keadaan habitat semula jadi.
Noorhidayah berkata, peningkatan suhu air, perubahan kedalaman sumber air dan keadaan kemarau boleh menjejaskan kelangsungan hidup larva pepatung, terutama apabila habitat menjadi terlalu panas, cetek atau kering.
Pada masa sama, pembangunan bandar yang tidak mengambil kira kepentingan ekosistem turut menyebabkan kehilangan kawasan hijau dan tanah lembap yang menjadi habitat pembiakan pepatung.
Permukaan berturap seperti jalan raya, tempat letak kereta dan bangunan juga meningkatkan aliran air permukaan yang berpotensi membawa lumpur, minyak, sisa pepejal serta bahan pencemar ke sungai dan tasik.
“Peningkatan aktiviti manusia di kawasan rekreasi seperti membuang sampah, memijak tebing sungai, merosakkan tumbuhan air dan penggunaan bahan kimia turut memberi tekanan kepada habitat pepatung serta mengurangkan populasinya,” katanya.
Norhidayah berkata, tumbuhan di kawasan tebing sungai dan tasik mempunyai fungsi penting sebagai penapis semula jadi kerana akarnya membantu menyerap sebahagian bahan pencemar daripada aliran permukaan sebelum memasuki sistem perairan.
Usaha berkenaan juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 6 berkaitan Air Bersih dan Sanitasi, SDG 11 mengenai Bandar dan Komuniti Mampan serta SDG 13 berhubung Tindakan Iklim.-UTUSAN










