PETALING JAYA: Murid berusia enam dan tujuh tahun yang akan mendaftar Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2027 tidak perlu diasingkan ke dalam kelas berbeza.
Pakar Pendidikan, Prof. Datuk Dr. Abdul Rashid Mohamed berkata, perbezaan umur setahun bukan faktor utama yang menentukan keupayaan pembelajaran seseorang murid.
Beliau berkata, amalan pendidikan di pelbagai negara menunjukkan kejayaan murid lebih bergantung kepada pendekatan pengajaran, kurikulum dan sokongan yang diberikan oleh sekolah berbanding perbezaan umur semata-mata.
Jelasnya lagi, sistem pendidikan di dunia secara umumnya terbahagi kepada dua pendekatan utama iaitu sistem yang sangat berstruktur dan sistem yang lebih fleksibel (laissez-faire).
“Negara seperti Singapura, China dan Korea Selatan mengamalkan sistem yang lebih berstruktur dengan kurikulum yang jelas serta penekanan terhadap pencapaian akademik. Pendekatan itu juga membantu negara-negara tersebut mencapai kemajuan yang ketara dalam pendidikan.
“Negara seperti Finland pula memberi lebih banyak kebebasan kepada murid untuk meneroka minat dan cara pembelajaran masing-masing. Pembelajaran tidak terlalu berpusat kepada peperiksaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
“Namun, perlu diingat Finland mempunyai populasi yang lebih kecil sekitar lima ke enam juta orang dan lebih mudah untuk menyediakan sistem pendidikan bersifat khusus dan disesuaikan dengan keperluan individu murid. Pendekatan seperti ini mungkin lebih mencabar untuk dilaksanakan di negara yang mempunyai populasi besar seperti China,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Setakat ini, Kementerian Pendidikan merekodkan kira-kira 476,000 permohonan kemasukan tahun satu bagi sesi 2027 dengan 73,000 melibatkan usia enam tahun (kohort 5+).
Untuk rekod, jumlah keseluruhan kemasukan murid tahun satu di seluruh negara bagi sesi persekolahan tahun ini adalah seramai 442,510 orang.
Abdul Rashid yang juga bekas Timbalan Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan di Majlis Profesor Negara berkata, Jepun antara negara yang memberikan tumpuan kepada pembangunan karakter, disiplin dan kemahiran sosial pada peringkat awal persekolahan.
Jelasnya, negara itu lebih menekankan pembentukan sahsiah, kerjasama dan disiplin dalam tahun-tahun awal pendidikan sebelum memberi penekanan yang lebih besar kepada pencapaian akademik.
“Murid di Jepun diajar untuk menepati masa, bekerjasama, berkawan, menghormati orang lain dan memikul tanggungjawab. Apabila murid meningkat ke tahap yang lebih tinggi, aspek-aspek asas seperti disiplin, sikap dan nilai telah dibentuk terlebih dahulu.
“Sebagai contoh, bahasa Jepun menggunakan banyak aksara yang berasal daripada tulisan Cina klasik. Untuk menguasai bahasa Jepun dengan baik, murid perlu menghafal dan mempelajari sehingga 800 aksara. Ini memerlukan tahap disiplin dan ketekunan yang tinggi sejak usia muda,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada satu model yang boleh dianggap bersesuaian untuk semua negara kerana kejayaan sistem pendidikan banyak bergantung kepada konteks dan matlamat yang ingin dicapai.
Walaupun banyak perkara boleh dipelajari daripada sistem pendidikan negara maju seperti Finland, jelasnya, ia tidak bermakna model tersebut boleh diterapkan sepenuhnya di Malaysia tanpa mengambil kira perbezaan konteks setempat.
“Banyak perkara yang mereka lakukan memang boleh dijadikan rujukan, tetapi bukan semuanya sesuai untuk dilaksanakan di negara ini.
“Kita tidak boleh mengambil model Finland secara bulat-bulat dan melaksanakannya melalui pendekatan ‘copy and paste’ kerana cuaca dan iklim juga berbeza,” katanya. – UTUSAN










