Nelayan Indonesia hanyut sembilan hari ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Nelayan Indonesia hanyut sembilan hari ditemukan selamat

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selepas sembilan hari berada di laut, seorang nelayan warga Indonesia ditemukan selamat apabila bot dinaikinya hanyut di perairan Pulau Tioman, Rompin dekat sini.

Mangsa, Bachtiar, 61, ditemukan orang awam kira-kira 22 batu nautika timur Pulau Tioman pada 15 Oktober lalu sebelum bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digerakkan ke lokasi.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Datuk Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya menerima maklumat awal kehilangan bot nelayan tersebut daripada Kantor SAR Natuna menerusi e-mel pada 14 Oktober lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bot itu dilaporkan bertolak dari Letung, Kabupaten Kepulauan Anambas, Indonesia pada 6 Oktober lalu sebelum terputus hubungan. Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima laporan penemuan bot daripada MRSC Johor Bahru pada 15 Oktober lalu.

“Pemeriksaan mendapati bot berada dalam keadaan baik dan membawa seorang lelaki warga Indonesia berusia 61 tahun, namun kehabisan minyak menyebabkan mangsa hanyut di laut,” katanya di sini hari ini.

Susulan itu, Maritim Malaysia mengatur gerak bot Perkasa 1246 ke lokasi bagi memberikan bantuan sebelum membawa mangsa ke Pulau Tioman dan tiba dengan selamat di situ pada pukul 3.10 pagi, 16 Oktober lalu.

Mazlan berkata, MRSC Kuantan turut berkoordinasi dengan Balai Polis Pulau Tioman untuk membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Tekek bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Katanya, pihaknya juga menghubungi Konsulat Republik Indonesia bagi memaklumkan penemuan mangsa serta menyelaraskan tindakan susulan, termasuk urusan dokumentasi dan penghantaran pulang ke negara asal. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini